Dr Mujahid Yusuf

KUALA LUMPUR – Tiada siapa dari Pakatan Harapan (PH) terima Belanjawan 2021 bulat-bulat, bahkan penerimaan awal bajet di peringkat dasar itu bukan bermakna noktah berakhir.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, peringkat jawatankuasa adalah tindakan susulan untuk meneliti setiap perincian, kerana asal bajet telah dibuat pelbagai perubahan dalam penggulungan Menteri Kewangan.

Katanya, adapun keputusan untuk Ahli Parlimen tidak bangun bagi meminta undi belah bagi dari Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat pada saat akhir ketika penggulungan sedang berlangsung.

Oleh itu, jelas beliau, perubahan keputusan pada saat akhir menimbulkan pelbagai kekeliruan di kalangan Ahli Parlimen pembangkang sehingga membuatkan Datuk Mahfuz Omar mencadangkan usul belah bagi.

“Sebagai rekod, kelayakan mengundi disyaratkan 15 Ahli Parlimen bangun menyokong usul.

“Oleh kerana ketua-ketua parti menerima arahan ‘stand down’, bilangan 15 Ahli Parlimen tidak mencukupi untuk undian.

“Bagi parti Amanah, tidak semua Ahli Parlimennya berdiri tanda sokongan, dari PKR hanya seorang, DAP seorang, manakala yang lain ialah dari Pejuang menjadikan bilangan mereka 13 orang sahaja,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.

Dari sudut etika, kata Dr. Mujahid, Ahli Parlimen PH tertakluk kepada arahan Ketua Pembangkang untuk menyelaraskan tindakan mereka di dewan.

Ketua Whip parti masing-masing pula akan menerima arahan untuk tindakan, sama ada arahan saat akhir tidak diterima atau arahan samar ataupun sengaja dibuat, itu adalah sesuatu yang belum dapat dipastikan.

“Dalam keadaan demikian, pada pendapat saya, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, tetapi pada waktu sama, kita tidak boleh menyalahkan penyokong PH dari berasa marah terhadap insiden yang berlaku.

“Untuk itu, saya secara peribadi memohon maaf jika tindakan kami menimbulkan keresahan, keliru dan marah atas arahan ‘tarik handbrake’ dari menolak bajet 2021 pada saat akhir.

“Atas garis yang sama, saya perlu bersikap adil untuk memahami mengapakah arahan saat akhir ini bertukar arah. Alasan Ketua Pembangkang secara asasnya bersandarkan kepada keperluan rakyat adalah lebih utama dari keperluan politik di dalam dewan,” jelasnya.

Beliau ternyata tidak berpuas hati dengan tindakan saat akhir Presiden PKR itu berkata, hakikatnya, itulah yang berlaku.

Katanya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika itu ternyata telah mengalah kepada tuntutan blok PH dan BN Backbencher berbanding dari janji dalam pembentangan awal.

Antara lain, ujarnya moratorium pinjaman bank hingga Mac 2021, keluaran otomatik Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara meluas dan pemotongan peruntukan untuk JASA.

“Penyokong PH perlu memahami, ini adalah antara tuntutan PH dan BN Backbencher yang disuarakan dalam perbahasan mereka. Adalah sesuatu yang merugikan jika kita menolak bajet yang tunduk kepada sebahagian kehendak kita.

“Bayangkan jika PH menolak bajet ini, kita akan dilihat memperbodohkan diri sendiri dan mengundang kemarahan rakyat.

Ketua Pembangkang menegaskan bahawa semua pindaan yang disebut oleh Menteri Kewangan perlu diteliti di peringkat jawatankuasa bajet dan tidak menolak kemungkinan membawa usul belah bagi jika perincian tidak mencerminkan pindaan yang dijanjikan,” katanya.

Dr. Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, perjuangan bajet yang benar-benar manfaatkan rakyat belum berakhir.

Sebaliknya, beliau merayu kepada penyokong PH agar tidak cepat membuat rumusan dan andaian yang tidak membantu memperkukuhkan kesatuan dalam PH.

“Apa sahaja yang berlaku pada 26 November lalu tidak sama sekali menyokong keabsahan (legitimasi) kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hingga kini tanpa majoriti yang terbukti.

“Perjuangan lebih besar ialah membawa usul tidak percaya kepada Muhyiddin, sekali gus mempertahankan demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette