Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pertemuan lebih kerap ketua-ketua parti diadakan bagi mencapai kata sepakat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyarankan untuk menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya begitu komited agar PRU 15 nanti tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti kerajaan PN dalam menentang parti lawan.

“Untuk itu, program bersama akan diatur di peringkat pusat, negeri dan akar umbi bagi mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara parti dalam kerajaan PN.

“Mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh ketua-Ketua parti dalam PN diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Bersatu, yang diadakan secara maya, hari ini.

Menurut Muhyiddin, mungkin mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.

Ini penting kerana tidak semua ketua parti berada dalam Kabinet, dan menerusi mesyuarat ini, setiap mereka boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing mengenai dasar utama kerajaan untuk diambil perhatian oleh Kabinet dalam membuat sesuatu keputusan.

Muhyiddin menjelaskan, hala tuju parti Bersatu di masa hadapan ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara parti dalam PN, BN, GPS dan GRS.

“Inilah masa depan kita. Inilah jalan yang kita pilih. Jalan ini mungkin berliku. Ada onak dan duri di sana sini. Ianya mungkin sukar dan mencabar kesabaran kita,” katanya.

Sementara itu, katanya, Bersatu telah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN pada PRU 15 akan datang.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, ini kerana penerimaan rakyat terhadap PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini adalah tinggi.

“Saya percaya, dalam PRU yang akan datang PN akan diterima baik oleh rakyat Malaysia.

“Kajian pula menunjukkan penerimaan rakyat terhadap PN adalah tinggi. Oleh itu, Bersatu telah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN,” katanya. – MalaysiaGazette