Taqiuddin Cheman

KUALA LUMPUR – Hanya 13 Ahli Parlimen dari pembangkang bangun untuk mohon undi belah bahagi bagi memastikan Belanjawan 2021 tidak diluluskan Dewan Rakyat, mengecewakan Pemuda Amanah Nasional.

Lebih dikesalkan, sebahagian besar pembangkang memberi laluan kepada kerajaan supaya Rang Undang-undang Perbekalan 2021 itu lulus di peringkat dasar dengan suara ramai pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Taqiuddin Cheman berkata, akibat keengganan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) berdiri bersama 13 yang lain untuk membenarkan undian tersebut dilakukan, menyebabkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) lulus dengan mudah secara dasar.

“Pemuda Amanah Nasional amat kecewa dan kesal atas tindakan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat ketika Datuk Mahfuz Omar memohon undi belah bahagi dibuat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Hanya 13 Ahli Parlimen PH berdiri untuk membenarkan undian tersebut dijalankan, yang memerlukan sokongan 15 orang. Akibatnya RUU itu lulus dengan mudah secara dasar,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Belanjawan 2021 yang selesai digulung oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat petang Khamis, lulus dengan suara ramai.

Menurut Taqiuddin, Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui dalam perbahasannya bahawa dalam Belanjawan 2021, enam tuntutan PH langsung tidak disentuh oleh Menteri Kewangan ketika penggulungan itu.

Maka, kata beliau, apakah justifikasi Anwar mengarahkan Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021?

“Sikap Ahli-ahli Parlimen pembangkang ini telah mengecewakan ramai penyokong dan rakyat yang menaruh harapan agar Belanjawan 2021 ditolak, sekali gus menafikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Malah, bukan kali pertama dalam sejarah Dewan Rakyat, Ahli Parlimen pembangkang menolak Belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan, walaupun mengetahui pembangkang tidak mempunyai majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

“Hatta, ketika UMNO menjadi pembangkang sekalipun menolak belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan PH,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada 13 Ahli Parlimen pembangkang yang berani menyatakan pendirian menolak Belanjawan 2021.

Ujarnya, Presiden, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub sendiri telah berdiri sebelum itu untuk bersama menyokong undi belah bahagi.

“Namun, menghormati arahan daripada Ketua Pembangkang, mereka duduk semula.

“Pemuda Amanah mengingatkan semua pimpinan utama PH bahawa kedudukan semua parti dalam pakatan itu adalah sama.

“Semua keputusan penting yang dicapai dalam PH seharusnya dibuat dalam semangat konsesus dan sekiranya semangat ini diteruskan, Pemuda Amanah yakin PH akan terus diterima oleh rakyat,” katanya.

Mengenai sokongan daripada UMNO, beliau mengingatkan, tiada keperluan untuk menaruh kepercayaan terhadap parti itu kepada PH.

Menurutnya, apa yang perlu menjadi keutamaan adalah PH perlu mengukuhkan hubungan antara parti, meningkatkan komunikasi dan terus menggembeling segala usaha mengembalikan mandat rakyat. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Disaat2 getir rakyat bawahan memerlukan bantuan belanjawan kenapalah agaknya parti PAN menolak belanjawan 2021 secara TOTAL? Adakah ianya tindakan MEMBABI BUTA? Cer citer?

  2. panKHIANAT patut soal diri dan KESAL mengapa sanggup KHIANAT pada Jemaah tetapi penyokong tegar DAPIGS…..inilah segelintir rakyat yang suka berpura2…bila kerajaan ingin membantu dan menjaga kebajikan Rakyat dan Negara dibantah dan ditolak…..tapi bila kerajaan tidak ambil peduli TUDUH pula zalim tidak prihatin masalah rakyat…HIDUP MENGENCING DAN BERPURA2 ITU SIFAT MUNAFIKUNN.

Comments are closed.