Dr. Mohammed Azman (kiri) melihat Dr. Christina (tiga dari kiri) memakaikan PPE kepada seorang petugas barisan hadapan.

KOTA KINABALU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan 280 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di negeri itu.

Penyerahan dibuat oleh Pengarah Pejabat Perkeso Sabah, Dr. Mohd Ali Hindia kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi dalam satu majlis sederhana di pejabat JKNS.

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, pihaknya mengambil inisiatif itu berikutan keperluan mendesak oleh petugas barisan hadapan di Sabah yang berdepan dengan risiko Covid-19.

“PPE yang kita hasilkan ini adalah untuk menampung keperluan tersebut. Semua 280 set PPE dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka dalam tempoh lima hari.

“Set PPE ini dihasilkan oleh 15 orang termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, Perkeso bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang terbencana, malah turut mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan dalam menangani keperluan bekalan PPE di hospital.

Dr. Mohamed Azman berharap, sumbangan itu dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi oleh petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus lumus berkhidmat sepanjang tempoh mencabar ini.

“Kita berharap, inisiatif ini juga menyumbang kepada usaha kerajaan pusat dan negeri serta hospital di Sabah dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette