KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyambut baik kenyataan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membangkitkan semula kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Anggota Exconya, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, perkara itu akan dibangkitkan selepas selesai perbahasan Belanjawan 2021 yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.
Katanya, UMNO membangkitkan perkara itu bukan kerana tamak, sebaliknya jika dilihat dari sudut positif, pengisian jawatan itu akan meningkatkan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus memerintah.
“UMNO merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan PN dan Perdana Menteri kini bukan dari UMNO. Ini sudah menunjukkan pengorbanan besar UMNO yang membuktikan kita mampu berkorban untuk kepentingan rakyat.
“Kepakaran dan pengalaman UMNO amat diperlukan dalam proses membuat dasar kerajaan terutama sekali ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang memerlukan tumpuan khas kepada pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri dalam kenyataannya menegaskan, UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.
Menurutnya, isu jawatan itu tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan anggota UMNO tidak mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan semula jawatan berkenaan dengan memberikan kuota kepada parti itu.
Beliau berkata, kuasa pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.
Menurut Dr. Najmil Faiz, pencapaian Malaysia hari ini adalah hasil usaha pemimpin UMNO yang mencorakkan kegemilangan negara, bukan dari PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebagainya.
Realitinya, kata beliau, Perdana Menteri perlu memberikan jawatan nombor dua itu kepada UMNO untuk membuktikan Parti Bersatu ikhlas dalam perpaduan Melayu dan penyatuan ummah.
“Usaha dan niat ini perlu diterjemahkan dalam pemberian jawatan kabinet yang lebih adil dan ikhlas,” katanya. – MalaysiaGazette