Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kiri) hadir pada sidang media khas di Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Industri sawit negara dijangka menyumbang sebanyak RM500 juta dalam cukai ‘durian runtuh’ pada tahun depan sekiranya harga komoditi itu kekal di atas paras RM3,000 satu tan.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kerajaan diunjur memperoleh RM348 juta menerusi cukai tersebut tahun ini, dipacu peningkatan harga sawit yang kini mencecah lebih RM3,400 bagi setiap tan.

Katanya, angka itu adalah jauh lebih tinggi berbanding kutipan pada tahun lalu iaitu hanya RM258,000.

Cukai ‘durian runtuh’ akan hanya dikenakan ke atas peserta industri sekiranya harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras nilai ambang yang ditetapkan iaitu RM2,500 di Semenanjung Malaysia manakala RM3,000 di Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, nilai ambang ini telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Jika harga sawit terus kukuh lebih RM3,000 setiap tan dan berterusan sehingga tahun depan, tidak mustahil cukai ini boleh mencapai RM500 juta pada tahun depan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPOB di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Menurut beliau, pengeluaran MSM bagi tempoh April hingga Oktober tahun ini mencatatkan prestasi setanding atau lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi harga MSM bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ialah RM2,583.50 satu tan, meningkat sebanyak RM575 atau 28.6% berbanding RM2,008.50 pada tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, stok minyak sawit Malaysia jatuh ke paras 1.57 juta tan pada bulan lalu, terendah sejak Jun 2017 (1.53 juta tan) disebabkan peningkatan eksport dan kemerosotan pengeluaran pada bulan Oktober berbanding bulan-bulan lalu.

Eksport minyak sawit bertambah kepada 1.67 juta tan pada bulan lalu berbanding 1.61 juta tan pada bulan September 2020.

Ia merupakan kenaikan 3.8%, kesan lonjakan permintaan dari India, Nigeria, Ghana, Iran, Pakistan dan Jepun.

Ahmad Jazlan berkata, pengeluaran minyak sawit merosot pada bulan Oktober sebanyak 7.7% kepada 1.72 juta tan berbanding 1.87 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran minyak sawit merekodkan penyusutan 4% dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu, kesan kejatuhan hasil buah tandan segar akibat pengurangan penggunaan baja pada tahun 2018/2019.

Keadaan itu disebabkan oleh harga sawit yang rendah, ujarnya. – MalaysiaGazette