Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad
Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad

KUALA LUMPUR – Sebelum mengecam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai perlu memahami status penguatkuasaan itu bagi sesebuah negeri terlebih dahulu.

Aktivis politik, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, orang ramai tidak boleh terus menghentam kononnya Menteri Kanan (Keselamatan) sewenang-wenangnya melanggar peraturan SOP dengan makan di warung tanpa menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, beliau melihat cacian itu sebagai cubaan terdesak orang ramai ataupun mungkin mereka keliru dengan status antara negeri PKPPemulihan dan PKPBersyarat.

“Gambar yang menunjukkan Ismail Sabri bertemu beberapa pemimpin UMNO Melaka dan makan santai di warung bersama rakannya telah disalah ertikan.

“Tuduhan yang dilemparkan ialah seolah Menteri itu tidak mengikuti SOP yang beliau umum dan laporkan setiap hari.

“Untuk makluman kepada mereka yang mungkin terdesak mahu mencari salah Ismail Sabri dan mencalarkan kredibilitinya kerana cemburu atau niat lain yang tidak elok ini, harus mengkaji sebelum menuduh di medium media sosial,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Wan Khairul, Melaka yang dikunjungi Ismail Sabri atau Pak Long merupakan negeri Zon Hijau dan dikuatkuasakan PKPP dengan SOPnya jelas berbeza dengan negeri atau lokaliti yang dilaksanakan PKPB atau PKPDiperketatkan.

Ujar beliau, ketetapan untuk dua orang satu meja ialah bagi kawasan PKPB, bukan di lokaliti PKPP.

“Tambahan pula di Melaka hanya di tiga daerah yang berada dalam status kuning iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin dengan positif Covid-19 sebanyak 20 kes.

“Juga sudut gambar yang diambil memang boleh menampakkan seolah rapat jika dilihat dari sisi.

“Tetapi kalau dilihat dari depan memang ada penjarakan fizikal kerana meja tersebut besar,” katanya.

Beliau berharap, orang ramai memahami kecelaruan yang sengaja diadakan pihak tertentu untuk menyerang dan merosakkan reputasi Ismail Sabri yang menjadi tumpuan rakyat ketika ini.

Ahli Parlimen Bera itu katanya, amat menjaga segala aspek dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang menteri.

“Tidak mungkin sewenang-wenangnya melanggar SOP yang beliau sendiri umumkan,” katanya.

Semalam viral beberapa keping gambar menunjukkan Ismail Sabri sedang menikmati makan di sebuah warung bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauh Yusof.

Walaupun kedudukan masing-masing berada dalam penjarakan ditetapkan, tetapi sudut gambar yang diambil dari sisi menampakkan seolah beliau duduk berhimpitan antara satu sama lain. – MalaysiaGazette