KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan peruntukan untuk Kementerian Luar Negeri dengan suara ramai.
Keputusan itu diumumkan Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa.
Seramai sembilan Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang berbahas tengah hari ini dan selepas penggulungan oleh Timbalan Menteri, Datuk Kamaruddin Jaafar, majoriti Ahli Dewan Rakyat memberi sokongan menerusi undi suara.
“Dengan itu, RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 untuk Kementerian Luar Negeri diluluskan di peringkat jawatankuasa,” kata Azalina.
Penggulungan RUU itu dilakukan oleh Kamarudin untuk peruntukan berjumlah RM778 juta.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan syukur kerana RUU berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat.
“Tahniah Timbalan Menteri Luar, Dato’ Kamarudin Jaafar dan seluruh warga Wisma Putra!” katanya menerusi hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette