AYER KEROH – Desas desus projek mega Melaka Gateway yang bernilai RM43 bilion ilham KAJ Developement Sdn Bhd (KAJD) mungkin akan diserahkan kepada pemaju lain oleh kerajaan negeri semakin kuat kedengaran.

Media-media berbahasa Cina melaporkan perkembangan tersebut dan mengaitkannya dengan kegagalan KAJD menyiapkan projek penambakan laut yang bermula sejak 4 Oktober 2017.

Notis penamatan perjanjian telah dikemukakan pada 16 Oktober oleh kerajaan negeri Melaka kepada KAJD selain mereka dikehendaki menyerahkan tapak projek itu berkuat kuasa pada notis penamatan dikeluarkan. 

Bagaimanapun ketika MalaysiaGazette bertanyakan kepada pengasas Melaka Gateway merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong dalam nada sayu mempertahankan keazamannya tidak akan sesekali berputus asa.

“Kami telah ‘develop’ keseluruhan projek ini, siang malam kami mempromosi Melaka Gateway ini kepada para pelabur, pelabur yang masuk melabur juga bukanlah calang-calang. Malah ada juga yang kini bersimpati dengan apa yang terjadi serta berikrar untuk bersama KAJD.

“Persoalan kini, adakah kita mampu kehilangan atau mengambil risiko projek serta pelaburan sebesar ini? Lagi-lagi ketika keadaan ekonomi yang begitu menakutkan serta terumbang-ambing ini?

“Saya beri contoh yang paling dekat dengan saya, KAJD mempunyai lebih 600 pekerja kini lebih 500 daripada mereka sudah kehilangan kerja kerana projek sudah terhenti separuh jalan. Kami terpaksa lepaskan mereka supaya mereka boleh cari kerja sementara sehingga semuanya pulih.

“Semua pekerja kita adalah rakyat tempatan dengan 98 peratusnya adalah dalam kalangan bumiputra. Rata-rata pekerja kami sudah seperti keluarga, bayangkan ini berlaku dalam keluarga kita, saya hilang kata-kata sebenarnya.

“Untuk saya ‘give up’ atau serahkan Melaka Gateway yang merupakan ‘baby’ kami di KAJD, itu tidak mungkin berlaku.

“Memang saya tidak boleh sahkan perkara ini kerana ada banyak laporan media sana sini, segala macam spekulasi tapi kerajaan tidak pernah beritahu apa-apa secara rasmi kepada kami.

“Kami masih menunggu dengan harapan untuk rundingan, itu yang kami harapkan, semoga Melaka Gateway ini tidak tinggal sebagai impian sahaja,” katanya ketika di temui semalam.

Datuk Michelle Ong

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersil bercampur seluas 246.4 hektar terdiri tiga pulau baharu dengan dua darinya adalah buatan manusia dijangka siap pada 2025.

Melaka Gateway telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2014 yang menyifatkan projek itu dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.

Bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menyifatkan projek mega ini akan membawa manfat cukup besar buat negara ini khasnya di Melaka.

Projek itu merangkumi 12 presint, antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar, taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.

Pintu gerbang projek Melaka Gateway ditutup selepas projek mega, Melaka Gateway dibatalkan oleh kerajaan negeri Melaka di Taman Pulau Melaka, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

Sabtu lepas, media melaporkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sebarang pertanyaan mengenai Melaka Gateway  boleh diajukan kepada peguam yang dilantik.

“Saya tiada apa-apa komen, hubungi peguam,” katanya ringkas.

Namun ketika diasak lagi wartawan akhirnya kata Sulaiman pembangunan akan diteruskan kerana pelbagai model perniagaan kita ada cuma ada perkara teknikal yang kita perbetulkan sedikit apatah lagi ia terletak di bawah koridor ekonomi baharu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

“Jangan risau, projek akan terus dilaksanakan kerana kita tak mahu biarkan ia diabaikan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast