KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan bertolak ansur mana-mana premis sama ada milik kerajaan atau swasta yang tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, apa sahaja sistem yang digunakan di setiap premis berkenaan, segala aspek teknikal perlu diberi perhatian khusus.
Beliau bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan masih ada beberapa bangunan kerajaan sehingga kini masih dalam proses mendapatkan FC.
“Namun, kementerian ini menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa memantau dan berdamping dengan mereka dalam usaha memastikan mematuhi aspek ditetapkan.
“Saya hendak maklumkan, tidak mudah untuk membina bangunan (premis) tanpa pemerhatian dan pemantauan JBPM,” katanya pada sesi Jawapan-Jawapan Benteri Bagi Pertanyaan-Pertanyaan persidangan Parlimen Keempat Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Ketiga, hari ini.
Menurut Ismail, mana-mana premis yang melanggar peraturan itu, boleh dikenakan hukuman denda RM50,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengenai premis di Johor yang belum menerima FC, beliau menyatakan, sebanyak 46 unit masih dalam peringkat pembaikan.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan JBPM, notis telah diberikan kepada premis berkenaan kerana mendapati sistem salur bantu, sistem kesan asap dan sistem paip tidak berfungsi dengan baik.
“Pemeriksaan ke atas premis itu juga mendapati ada antaranya sistem penggera kebakaran mengalami kerosakan dan tidak dibaiki, selain lampu tanda keluar tidak mencukupi.
“Saya harap premis berkenaan dapat menyegerakan pembaikan berkenaan untuk membolehkan JBPM mengeluarkan sijil FC.
Mengenai premis kerajaan, Ismail menyatakan, kementeriannya telah menubuhkan Pasukan Keselamatan dan Kebakaran yang bertujuan memberi pengetahuan bahaya kebakaran kepada kakitangan.
Selain itu, pasukan ini juga akan bertindak memberi tunjuk ajar cara memadam kebakaran di peringkat awal jika berlaku kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette