Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Rizab antarabangsa mempunyai fungsi lain dan bukannya untuk membiayai belanjawan atau pakej rangsangan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, pakej rangsangan ekonomi dibiayai oleh pinjaman domestik.

“Pakej ekonomi dibiayai terutamanya oleh pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan,” katanya.

Abd. Rahim menjawab soalan Pang Hok Liong (Pakatan Harapan-Labis) yang mahu mengetahui jumlah keseluruhan rizab negara dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia setakat September 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, setakat 30 September lalu, rizab antarabangsa BNM berada pada paras RM436.5 bilion atau AS$105 bilion dan cukup untuk membiayai 8.4 bulan import serta 1.1 kali ganda daripada jumlah keseluruhan hutang jangka pendek luar.

Tambahnya, rizab tersebut meningkat sebanyak AS$1.4 bilion berbanding AS$103.6 bilion pada akhir 2019.

Rizab negara merujuk kepada rizab antarabangsa yang merangkumi rizab mata wang asing, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa, Hak Pengeluaran Khas emas dan rizab aset-aset yang lain.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast