Muhyiddin (kanan) mempengerusikan Mesyuarat MT PN semalam dan dihadiri empat presiden komponen malam tadi.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) semalam bersetuju dengan cadangan pembentukan Majlis Presiden parti gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Majlis Presiden itu akan dianggotai semua ketua parti PN.

Katanya, ia sebagai platform untuk parti dalam PN membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.

Menurut beliau, mesyuarat yang dihadiri empat presiden parti komponen itu juga memutuskan PN akan segera melaksanakan program flagship di seluruh negara untuk membantu kebajikan semua lapisan rakyat.

Mesyuarat MT itu dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu dan dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee; dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Pengerusi PN bersama semua ahli MT yang lain. – MalaysiaGazette