Shabudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang hari ini mendesak Dewan Rakyat agar Datuk Shabudin Yahaya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Mereka menyifatkan kesilapan dilakukan Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam pengiraan jumlah undi bagi Kepala B.10, B.11 dan B.12 Anggaran Perbelanjaraan Mengurus 2021 Kementerian Kewangan sebagai serius.

Kata mereka, ketika pengiraan undian belah bahagian diadakan pada 30 November lalu, jumlah undian yang menyokong adalah 107, manakala 95 tidak bersetuju dan 18 tidak hadir.

Namun, melalui pemakluman Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, jumlah sebenar yang menyokong undian itu ialah 106, manakala 95 kekal tidak bersetuju dan 19 tidak hadir.

“Ini disebabkan kerana Ahli Parlimen Tasek Gelugor selaku Penghitung Undi bagi Blok C telah menandakan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai bersetuju dalam senarai undi, sedangkan Ahli Parlimen Padang Rengas tidak hadir semasa sesi pengundian tersebut.

“Tasek Gelugor dalam penjelasannya menyatakan antara lainnya, semasa sesi pengundian, beliau ada nampak Ahli Parlimen Padang Rengas, lalu membuat andaian telah menyokong.

“Shabudin juga menyatakan, beliau tiada niat untuk menipu Dewan atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Peraturan Dewan,” kata mereka dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam responnya, tampil memohon maaf kepada Dewan Rakyat atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Katanya, beliau tidak mempunyai apa-apa niat untuk mengelirukan dewan semasa proses pengiraan undian belah bahagian itu.

Menurut kenyataan itu lagi, mengikut Peraturan 47 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, menyatakan dengan jelas, semasa undian belah bahagian, Penghitung Undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana yang hendak diundinya.

Kata mereka, Setiausaha hendaklah memasukkan undi masing-masing ahli itu dan nama ahli-ahli yang tidak mengundi dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat.

Namun, persoalan yang timbul adalah, bagaimana mungkin Tasek Gelugor boleh tersilap jika Peraturan 47 (1) mengkehendaki beliau untuk bertanya kepada tiap-tiap ahli?

Bagaimana mungkin beliau menandakan Padang Rengas sebagai telah menyokong undian, sedangkan beliau tidak bertanya kepada Nazri.

Ianya mustahil untuk bertanya, kerana Ahli Parlimen Padang Rengas tidak hadir pada sesi pengundian tersebut.

“Tindakan Tasek Gelugor yang hanya ‘menganggap’ Padang Rengas telah menyokong adalah sama sekali bercanggah dengan Peraturan 47 (1) yang memestikan beliau untuk bertanya kepada Padang Rengas terlebih dahulu.

“Adalah jelas, Tasek Gelugor juga telah sebenarnya dengan sengaja menipu Dewan Rakyat dalam keadaan beliau mempunyai pengetahuan penuh bahawa Padang Rengas tidak hadir semasa sesi pengundian tapi hanya dengan membuat andaian sahaja.

“Sekiranya tiada aduan atau pendedahan dari Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, maka seluruh rakyat pun tidak akan tahu mengenai penipuan ini,” jelas pembangkang.

Demi menjaga integriti Dewan Rakyat, Tasek Gelugor wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk diambil tindakan segera agar perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Malah, beliau juga wajar untuk digantung dari menjadi Penghitung Undi bagi Blok C. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.