Pansha (dua dari kanan) dan Azmi Ismail (kiri) pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara eWayang dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR – eWayang, sebuah platform penstriman video baharu,  bukan sahaja menawarkan kepada pengguna untuk menonton filem-filem tempatan kegemaran mereka tetapi juga dapat menjana pendapatan dengannya.

Pengarah Urusan eWayang, Azmi Ismail berkata, objektif platform eWayang tuurt membantu penerbit, pelakon atau sesiapa sahaja.

“Perbezaan ketara platform eWayang dengan platform penstriman video lain adalah sesiapa sahaja yang menonton filem di eWayang boleh menjana pendapatan menerusi ‘referral’.

“Sebagai contoh, anda beli tiket untuk tonton wayang di eWayang, anda akan mendapat ‘referral link’ yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan, keluarga atau di media sosial. Sekiranya rakan anda berminat dan menonton filem menerusi ‘referral links’ anda, anda akan mendapat komisyen RM1.

“Bukan penonton sahaja dapat menjana pendapatan, tetapi penerbit dan juga pelakon turut boleh menjana pendapatan sampingan, sekali gus menjadikan situasi menang-menang antara orang ramai dan juga penerbit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara eWayang dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) semalam.

Turut hadir Presiden PFM, Pansha.

Azmi Ismail.

Azmi menambah, setiap penerbit yang menayangkan filem mereka di platform eWayang tidak dikenakan sebarang caj-caj tersembunyi dan setiap pembelian tiket pihak penerbit akan mendapat 50 peratus daripada harga tiket.

“Harga tiket untuk filem di eWayang berharga RM15 sahaja dan keuntungan setiap tiket akan dibahagi sama rata iaitu 50%-50%, jadi RM7.50 kepada penerbit dan RM7.50 kepada eWayang.

“Pihak eWayang juga akan menyalurkan RM1 setiap tiket kepada tabung Covid-19, maknanya penonton bukan sahaja dapat tonton filem tetapi juga dapat membuat amal,” katanya.

Jelas Azmi lagi, mereka tidak akan berhenti menyalurkan sumbangan sekiranya Covid-19 berakhirnya sebaliknya akan meneruskan kerja-kerja amal dengan menyalurkan bantuan kepada badan atau persatuan lain pula selepas ini.

Ketika ini, eWayang sudah pun menayangkan lapan buah filem dan bakal menayangkan lebih banyak lagi filem dalam masa terdekat ini.

Antara filem terbaru yang bakal ditayangkan di eWayang adalah Khurafat, Saya Amat Mencintaimu, Spinning Gasing, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, Jadi Juga, Kastil Tua, Senjakala di Manado, Bara dan Ciliwung Gudnite.

Penonton bukan sahaja boleh membeli tiket untuk sebuah filem sahaja, tetapi juga boleh membeli tiket untuk beberapa buah filem serentak menerusi pakej kombo yang ditawarkan yang mana harganya lebih murah.

Setiap pembelian tiket, penonton boleh menonton filem dalam tempoh 48 jam tanpa had. – MalaysiaGazette