Rosidah Abdul Aziz menitiskan air mata ketika menerima lawatan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin di Perumahan Polis Desa Tasik, Sungai Besi. foto AFIQ HAMBALI, 03 DISEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Nasib seorang wanita kurang upaya (OKU) yang  mencari rumah sewa baharu selepas mendapat Notis Mengosong Perumahan Polis mendapat perhatian Yayasan Usahawan Negara (YUN).

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya sedia membantu Rosidah Abdul Aziz dan keluarganya dalam menjana ekonomi untuk menjadi usahawan berjaya.

Wanita tiga anak yang menjual nasi lemak secara kecilan itu boleh membekalkan makanan itu kepada YUN mengikut kemampuan bagi memboleh beliau meneruskan kehidupan hariannya.

“Pertama kali bila saya tahu keadaan Rosidah, saya memahami kesusahan dan kekangan yang dihadapi beliau. Saya sedih tetapi saya datang untuk memberi semangat. Sebab itu perancangan yayasan jika beliau boleh membekalkan nasi lemak, kami mahu kelangsungan hidupnya sebagai penjual nasi lemak dan kita akan beli daripadanya.

“Kita mahu beliau sentiasa bekerja dan aktif serta tidak mahu semata-mata memberi bantuan. Ini yang kami mahu buat dan memberinya  menjana ekonomi keluarga.

“Kita mahu beliau menjadi usahawan wanita dan berubah walaupun dalam keadaan begini. Bukan sahaja kita membantu, tetapi menjadi usahawan yang berjaya dan tidak mahu beliau patah semangat,” katanya di sini hari ini.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin semasa temubual selepas menyampaikan sumbangan kepada Rosidah Abdul Aziz di Perumahan Polis Desa Tasik, Sungai Besi. foto AFIQ HAMBALI, 03 DISEMBER 2020

Megat hadir melawat Rosidah dan keluarga di Perumahan Polis Desa Tasik selepas kisah mereka yang buntu mencari rumah sewa baharu disiarkan MalaysiaGazette semalam.

Rosidah telah tiga mendapat notis pengosongan rumah yang didiaminya selama 25 tahun bermula Jun lalu, selepas suami beliau tamat perkhidmatan polis pada awal tahun ini dan tidak pulang ke rumah sejak lima tahun lalu.

Dia kini memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memandang kadar sewa yang rendah.

Wanita berusia 54 tahun ini tidak boleh berjalan gara-gara ketumbuhan di tulang belakang.

Anak sulungnya pula menghidap penyakit kemurungan sejak 14 tahun lalu dan anak bongsu pula berstatus OKU tulang rapuh.

Mengulas lanjut, Megat berkata, YUN sedia membantu anak bongsu Rosidah dari segi psikologi dan ubatan walaupun keluarga itu mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Malaysia dan Baitulmal.

“Untuk anak beliau sambung belajar pada masa depan kerana saya juga berada di MARA (Majlis Amanah Rakyat), saya akan bantu juga. Itu janji yayasan,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin menyampaikan sumbangan kepada Rosidah Abdul Aziz ketika melawat untuk menyampaikan sumbangan di Perumahan Polis Desa Tasik, Sungai Besi. foto AFIQ HAMBALI, 03 DISEMBER 2020