KUALA LUMPUR – Kadar jangka pendek dijangkakan kekal stabil minggu depan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada pasaran kewangan.
Bagi minggu ini, purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 1.73 peratus manakala kadar-kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 1.78 peratus, 1.81 peratus dan 1.86 peratus.
Pada minggu yang baru berakhir ini, BNM menjalankan operasi harian bagi mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan dengan menawarkan tender pasaran wang konvensional, tender lelongan pelbagai Islam-Qard, tender repo berbalik, tender pasaran wang lelongan matang, Program Komoditi Murabahah dan tender Qard.
Lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional minggu ini berkurangan kepada RM33.80 bilion daripada RM36.67 bilion pada minggu sebelumnya manakala dalam sistem Islam, ia meningkat kepada RM15.20 bilion daripada RM13.3 bilion sebelum ini. – MalaysiaGazette