Mohd Shaid Rosli. foto NOOREEZA HASHIM, 06 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penduduk Bandar Puncak Alam yang beragama Islam tidak pernah menghalang penjualan makanan tidak halal di pasaraya-pasaraya di sekitar kawasan itu bagi memenuhi permintaan bukan Islam di situ.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, pihaknya hanya menerima bantahan daripada penduduk di situ agar penjualan minuman beralkohol tidak di jual dalam kawasan terbabit.

“Tidak ada halangan bagi menjual makanan ‘non-halal’ di Jaya Grocer sekiranya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan kaunter yang berasingan.

“Penduduk faham dan hormat kepada ‘non Muslim’ ke atas makanan pilihan mereka. Mereka cuma mahu kawasan ini bebas daripada minuman alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pihaknya menerima bantahan daripada penduduk Bandar Puncak Alam yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam berhubung pembukaan pasaraya Jaya Grocer yang menjual minuman beralkohol.

Dalam pada itu, Mohd Shaid telah menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan pasaraya berkenaan bagi pihak penduduk Bandar Puncak Alam baru-baru ini.

“Pihak pengurusan mengambil maklum mengenai bantahan tersebut dan menutup bahagian ‘non-halal’ termasuk sekali makanannya semasa saya tiba di sana.

“Saya menerangkan kepada pihak pengurusan di mana bantahan ini hanya kepada minuman beralkohol oleh penduduk Bandar Puncak Alam.

“Saya percaya mereka akan buka semula sudut tersebut setelah minuman beralkohol dialihkan,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di situ juga pernah hantar memorandum sama kepada pasaraya dan kedai serbaneka seperti Tesco, Econsave, 7 Eleven, KK Mart dan kedai-kedai yang menjual minuman alkohol.

“Pemilik akur kepada kehendak penduduk yang mana majoritinya Melayu beragama Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.