KUALA LUMPUR – Tidak ada satu pun parti politik di Perak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri, kata Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata, untuk membentuk kerajaan negeri itu, sekurang-kurangnya parti memerlukan sokongan 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sedangkan kedudukan parti politik di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ialah Barisan Nasional (BN) 25 kerusi, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR 3, Pas (3), Gerakan (1) dan Bebas (1).
“Untuk pengetahuan, tiada satu pun parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri selepas Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dijatuhkan menerusi usul undi percaya oleh ahli dewan semalam.
“Setakat ini, hanya gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seiringan, apabila kami mempunyai 24 ADUN.
“Tetapi tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, berlaku sejarah dalam negeri Perak apabila Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang telah menghadapi usul percaya di Dewan Negeri dan tidak mendapat majoriti dalam undian belah bahagi.
Dalam undian itu, 48 ADUN mengundi tidak setuju, 10 ADUN undi bersetuju dan satu ADUN berkecuali.
Mohammad Nizar yang merupakan bekas Menteri Besar Perak dari 2008 hingga 2009 berkata, beliau yakin dalam masa terdekat ini, negeri itu akan menyaksikan pelantikan Menteri Besar dan kerajaan baharu.
Kata beliau, untuk membentuk kerajaan negeri, satu gabungan diperlukan agar kerajaan yang terbentuk nanti mempunyai kedudukan kukuh dan stabil bagi menerajui Perak.
Beliau bagaimanapun tidak pasti kedudukan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) di Perak kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) jelas menolak Parti Bersatu dan Pas.
“Pada masa sama, Bersatu dan Pas juga tidak menyokong UMNO dan BN dalam pengundian belah bahagi semalam,” katanya.
Justeru kata Mohammad Nizar, Amanah negeri yakin dengan kebijaksanaan dan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Kita yakin baginda dapat menyelesaikan kemelut ini, di samping Amanah Perak akan merujuk kepada Presiden parti dan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Nasional berhubung isu ini.
“Keutamaan kami (PH) adalah kesejahteraan rakyat yang terkesan dalam suasana pandemik Covid-19 ini,” katanya. – MalaysiaGazette