KUALA LUMPUR – Peristiwa yang berlaku pada Kerajaan Negeri Perak semalam memang sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak pernah terfikir UMNO akan mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Ini kerana, selama ini rakyat dimomokkan bahawa Bersatu tidak ikhlas dalam mewujudkan perpaduan Melayu.
Tetapi kini, Bersatu dituduh pula bermain politik dengan UMNO, kata Naib Ketua Srikandi Wilayah Persekutuan, Izwa Jurish.
“Tak terfikir UMNO akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP. Sungguh di luar jangkaan.
“Siapa bermain politik sekarang? Siapa bertali arus membuat kenyataan kontroversi mencari publisiti?
“Siapa membuat gerakan membunuh rakyat? Siapa kata tak nak kepada perpaduan Melayu?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN).
Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu pagi ini, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan keputusan itu berkata, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 ADUN bersetuju, manakala sembilan tidak bersetuju.
Izwa juga menggesa semua ahli politik khususnya wakil rakyat tanpa mengira parti politik berhenti dengan permainan politik buat sementara waktu.
“Zalim sungguh tindakan anda semua yang kononnya sangat prihatin kepada rakyat. Negara tenat, rakyat lelah, ekonomi genting, Covid-19 mengganas.
“Ketika ini bukanlah waktu sesuai untuk menuding jari atau menghina atau mengimbau kisah silam 22 bulan yang lalu.
“Things said and done. Baik buruk waktu itu harus disimpan ke tepi di dalam gobok buat sementara waktu.
“Sekarang waktu untuk fokus pada permasalahan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membela rakyat dan sama-sama bekerjasama dalam melalui detik-detik sukar ini.
“Tak malukah kita kepada Baginda tatkala Baginda berjuang nyawa menyelamatkan mangsa banjir, ahli politik rakus berebut jawatan.
“Rakyat merintih menderit, ahli politik semakin memualkan, jawatan direbut like nobody business,” katanya lagi. – MalaysiaGazette