Seekor babi sesat yang memasuki sebuah kedai di Alamanda.

KUALA LUMPUR – Kedai yang dimasuki seekor babi di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya semalam telah ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan dan disamak berlandaskan hukum syarak.

Ia  dikelolakan oleh pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ini termasuklah pelupusan sebarang pakaian atau produk yang telah tercemar.

Pihak pengurusan Alamanda berkata, untuk memastikan kelancaran operasi, kedai tersebut akan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak.

Pada masa yang sama, ruang legar dan kawasan lain yang dikenalpasti telah dicerobohi oleh babi hutan tersebut turut dibersihkan dan disanitasi.

”Memandangkan kejadian tersebut telah berjaya dibendung seta-merta, Alamanda akan terus dibuka dan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian pada jam 12.20 tengahari, seekor babi hutan dilihat menceroboh ke dalam kawasan Alamanda melalui tempat letak kereta tingkat P3, yang dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.

Menurutnya, pengawal keselamatan bergegas untuk menghalau babi hutan tersebut, namun ia berjaya meloloskan diri ke dalam sebuah kedai yang terletak di tingkat LG.

“Pihak pengurusan Alamanda segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) Putrajaya untuk bantuan sejurus menerima maklumat,” ujarnya.

Kedai tersebut telahpun dikosongkan dan diletakkan pagar penghalang sebelum ketibaan bomba untuk memudahkan keadaan dikawal.

Menurut Alamanda, kira-kira jam 1.05 tengahari, bomba telah berjaya mengeluarkan babi hutan tersebut dari pusat beli-belah itu dan kes kini di bawah bidang kuasa dan pemantauan Bahagian Perhilitan Perbadanan Putrajaya (PPj). –

ARTIKEL BERKAITAN:

Babi ‘masuk’ pusat beli belah, beruang pula ‘menyeberang’ jalan

1 Komen

Comments are closed.