Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa meminta semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) menunggu mesyuarat pelbagai peringkat parti diadakan sebelum membuat sebarang persepsi berhubung pergolakan politik di Perak.

Beliau yang merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, isu usul undi percaya oleh UMNO terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat lalu memerlukan gambaran yang lebih jelas.

Katanya, selain ahli parti, rakyat Perak juga perlu diberikan penjelasan mengenai situasi yang berlaku.

“Pada saya, isu Perak ini memerlukan gambaran yang lebih jelas, terutama dari orang (rakyat) Perak sendiri. Saya percaya, ada perkara yang dapat dibincangkan secara terbuka dan ada perkara dibincangkan secara tertutup,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Pada Jumaat lalu, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu-UMNO, Datuk Abdul Manaf Hashim kemukakan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal.

Dalam undi belah bahagi itu, seramai 48 ADUN tidak setuju, 10 ADUN setuju dan seorang berkecuali.

Mengikut Perlembagaan, dengan keputusan itu, secara automatik Ahmad Faizal atau Peja tidak lagi Menteri Besar Perak.

Menurut Annuar, semua pihak jangan tergopoh-gapah membuat sebarang keputusan kerana ia tertakluk kepada keputusan dasar parti masing-masing.

Kata beliau, tanggungjawab pimpinan parti yang mengurus pemuafakatan telah disahkan oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Tertinggi parti.

“Jangan acah untuk merombaknya, ahli parti majoriti (nampak) berdiam diri tetapi mereka memerhati. Apatah lagi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast