Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak muda bahawa anda mampu mencapai kata sepakat dan bekerjasama.-Gambar hiasan.

KRISIS ekonomi akibat wabak Covid-19 adalah antara masalah besar yang dihadapi oleh rakyat ketika ini. Fokus utama pemimpin pada ketika ini sepatutnya mengutamakan rakyat dan mengurangkan beban yang dihadapi rakyat. Jangan lupa rakyat jugalah yang telah memberikan mandat kepada semua wakil rakyat yang telah dilantik sekarang.

Akan tetapi melihatkan suasana landskap politik kita pada tahun ini, tiada permuafakatan antara parti politik dan terlampau banyak fokus dan tenaga diutamakan bagi gerakan politik. Contohnya krisis politik di Perak dan isu kuil di Kedah.

Sepatutnya di dalam situasi pandemik sebegini penting bagi semua pemimpin bersatu padu mengembleng tenaga dan usaha untuk menyelesaikan masalah pandemik dan krisis ekonomi. Ini bukan masa yang sesuai untuk kita berbalah antara satu sama lain.

Perbalahan dan ketidakstabilan politik negara telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi negara. Sudah tentu pelabur-pelabur antarabangsa tidak berminat untuk melabur didalam negara apabila pimpinan negara bertukar-tukar kerana kebarangkalian perubahan dasar adalah sangat tinggi.

Ini terbukti apabila Fitch Rating, agensi yang memberikan satu penanda aras kestabilan pelaburan (viability of investment) di sesebuah negara, telah memberikan penarafan yang terendah sejak 22 tahun. Kini rating bagi Malaysia adalah BBB+ berbanding A- sebelum ini.

Saya menyokong saranan ketua pemuda DPIM di mana pimpinan politik perlu kembali ke meja rundingan untuk berbincang secara baik bagi kebaikan rakyat dan pentingnya menjaga tutur kata antara kita.

Dengan ini, saya menggesa semua pempinan atasan politik agar dapat bermesyuarat dan berbincang bagi mencapai kata sepakat antara satu sama lain.

Penting untuk semua mengetepikan perbezaan fahaman politik buat sementara waktu dan berbincang antara satu sama lain bagi mencapai kata sepakat.

Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak muda bahawa anda mampu mencapai kata sepakat dan bekerjasama.

Fokus utama semua pada waktu ini sepatutnya adalah untuk rakyat tidak kira bangsa dan negara, membantu rakyat dan membaiki ekonomi bagi kebaikan dan kesejahteraan Malaysia. Perlunya kestabilan dan pimpinan yang kuat untuk membawa negara kearah kemakmuran bersama.- MalaysiaGazette

Fatin Fariza

Fatin Fariza
Naib Ketua Pemuda Ikatan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast