KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dipilih sebagai pemenang Anugerah Inovasi Asia Selatan dan Tenggara dalam kategori Organisasi Penyelidikan Kerajaan.

MPOB diumumkan sebagai pemenang anugerah itu di Clarivate South & South East Asia Innovation Forum 2020, yang diadakan secara maya pada 18-19 November lalu.

”MPOB merakam penghargaan kepada Clarivate di atas pengiktirafan dan pemilihan MPOB sebagai pereka cipta yang terunggul di Malaysia bagi kategori Organisasi Penyelidikan Kerajaan. MPOB berbangga dengan pengiktirafan yang bermakna ini,” kata Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir,

Menurutnya, MPOB telah membangunkan 704 teknologi yang mana 30.7 peratus atau 216 teknologi telah dikomersialkan dengan tujuan untuk meningkatkan kemajuan industri sawit.

Sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan dalam industri sawit di Malaysia, MPOB akan terus memimpin dan memberi dorongan dalam perkembangan industri sawit yang berdaya saing di peringkat global.

Anugerah tersebut diberikan dalam tiga kategori iaitu Institusi Penyelidikan Kerajaan, Institusi Akademik, dan Syarikat-syarikat untuk setiap negara di rantau Asia Selatan. Selain MPOB, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Petronas juga dipilih menerima anugerah tersebut bagi ketegori Institusi Akademik dan syarikat masing-masing.

Clarivate South & South East Asia Innovation Forum 2020 bertindak sebagai platform yang unik bagi pengurusan tertinggi di setiap organisasi untuk berkongsi amalan terbaik dan inisiatif transformasi untuk merangsang penciptaan inovasi dan
perkembanganya serta membincangkan cabaran yang mendepaninya. – MalaysiaGazette