Mohd Khalid Yunus

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengingatkan kepimpinan sayap parti itu lebih bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana kerajaan sekarang boleh tersungkur bila-bila masa disebabkan permainan politik kotor sesama mereka.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Mohd Khalid Yunus berkata, dengan pentadbiran yang lemah dan dibayangi pelbagai perbuatan salah laku serta korupsi, mendorong ketidaktetapan kerajaan sekarang untuk kekal lama.

Justeru, kata beliau, sayap Putra iaitu Pergerakan Wira, Wiranita dan Wirawati mesti bergerak sederap dengan keyakinan yang tinggi untuk menarik sokongan generasi baharu dan orang Melayu mulai sekarang.

Perwakilan dari Pergerakan Wira, Wiranita dan Wirawati hadir pada mesyuarat agung serentak tiga sayap itu di Kuala Lumpur malam tadi.

“Semua keadaan yang berlaku ini tidak boleh menolong Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan berkesan selamanya.

“Cara terbaik, pulangkan semula kuasa itu kepada rakyat dan mengadakan PRU, tetapi untuk mengadakan PRU sekarang tidak mudah kerana negara dilanda wabak pandemik Covid-19.

“Wabak ini sebenarnya sudah reda, tetapi merebak semula selepas diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang mana ramai orang politik dari semenanjung berarak ke sana dan membawa pulang virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Agung Pergerakan Wira, Wiranita dan Wirawati Putra di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah, di sini, malam tadi.

Kehadiran perwakilan dihadkan sebagai mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Mohd Khalid, politik yang tidak stabil dan kerajaan lemah boleh membawa kepada kelemahan ekonomi serta menyusahkan rakyat, manakala pelabur tidak lagi datang, malah ramai beralih ke negara lain.

Keadaan itu, jelas beliau menyebabkan syarikat tempatan menghadapi masalah dan ramai peniaga kecil mengeluh, selain lebih 800,000 rakyat hilang mata pencarian.

“Benar ada pelbagai kemudahan diwujudkan kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas dan terhimpit ini, tetapi berapa lama kerajaan boleh berbuat demikian.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh kedatangan jutaan pendatang haram dan berlaku kegiatan penyeludupan yang melibatkan kerajaan kerugian berbilion ringgit.

“Kita mendesak kerajaan mempertingkatkan lagi tugas penguatkuasaan membanteras kegiatan ini kerana menimbulkan masalah keselamatan kepada negara sehingga membawa kepada kehilangan nyawa anggota polis,” katanya.

Dalam pada itu, kata Mohd Khalid, Putra adalah sebuah parti politik yang baru ditubuhkan dan belum mampu untuk berlari.

Oleh itu, sayap Putra mesti bergerak seiring dengan pucuk pimpinan dalam usaha mengukuh dan menguatkan lagi parti itu.

“Sayap-sayap boleh berbincang dan buat keputusan, tetapi perkara melibatkan dasar parti perlu dikemukakan kepada Ahli Dewan Tertinggi (ADT) untuk dimuktamadkan.

“Keberkesanan Putra banyak bergantung kepada wujudnya suatu jentera parti yang kemas, kuat dengan aktiviti yang jelas untuk meyakinkan rakyat terutama generasi muda mengenai hala tuju parti.

“Langkah pertama ialah membina dan menguatkan asas parti menerusi bahagian yang ditubuhkan,” katanya.

Beliau menyeru kepimpinan sayap agar berfikir secara matang merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti dalam bidang ekonomi, sosial dan lain-lain yang boleh dilihat, dinilai dan dinikmati hasilnya oleh rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pati sanggup kerja 3D dengan upah rendah demi menguntungkan negara Malaysia sambil mengharapkan diberi warganegara tempatan memandangkan mentality Pak Pandir politikus kemaruk sokongan undi pendatang untuk menang sorak kampung tergadai sehingga tanah Melayu kini merosot ke 12% masih setuju sejak dari dulu lagi beri warganegara tempatan kepada pendatang cina keling kerja buruh kasar menguntungkan ekonomi penjajah British.

Comments are closed.