ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Enam pemuda yang merogol gadis bawah umur di sebuah hotel awal bulan ini telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara polis melengkapkan siasatan kes.

Kesemua suspek berusia 16 hingga 22 tahun itu telah ditahan pada 4 Disember lalu dan direman sehingga 11 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis telah menjalankan soal siasat ke atas kesemua suspek sepanjang tempoh tahanan reman selama sembilan.

“Hari ini mereka dibebaskan dengan jaminan polis sementara kami akan melengkapkan  kertas siasatan itu dengan segera.

“Kemudian polis akan merujuk kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut (pendakwaan),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Semua suspek ditahan selepas mangsa yang berusia 15 tahun memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan bersalah.

Berdasarkan laporan awal, mangsa mendakwa mengenali kesemua suspek menerusi seorang rakan perempuannya.

Kesemua suspek mengaku merogol gadis bawah umur itu.

Nik Ezanee berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek itu mempunyai rekod kes jenayah dan dadah. – MalaysiaGazette

Enam penghantar makanan mengaku rogol gadis 15 tahun