Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menerima kira-kira  2,000 aduan daripada rakyat berkenaan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium bagi pinjaman.

Ia diterima sejak hotline keluhan rakyat dilaksanakan pihaknya dalam masa tidak sampai 16 hari, kata ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, antara aduan yang diterima adalah dakwaan bank tidak memberikan jawapan kepada pemohon moratorium dalam tempoh yang munasabah selain memerlukan pelbagai dokumen sokongan yang menyusahkan rakyat.

Malah katanya, terdapat beberapa bank-bank tertentu yang tidak mematuhi apa yang dijanjikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

“Antara aduan yang diterima daripada orang awam termasuklah bank tidak memberi jawapan kepada pemohon dalam tempoh yang munasabah, bank masih memerlukan pelbagai dokumen sokongan diserah walaupun Menteri Kewangan berjanji kelulusan adalah automatik bagi golongan B40, M40 dan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan tempoh bayaran pinjaman ditambah sehingga dua hingga empat tahun lagi bagi mereka yang meminta moratorium,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Justeru Asyraf Wajdi menyeru agar orang ramai yang mengalami sebarang masalah semasa meminta lanjutan moratorium pinjaman termasuklah pengeluaran Akaun 1 KWSP supaya menyalurkan aduan secara terperinci.

Pemuda UMNO, katanya, konsisten dengan pendirian bahawa kriteria mengeluarkan wang daripada Akaun 1 menerusi program i-Sinar sebagai tidak adil.

Kedua-dua kriteria yang ditetapkan baru-baru ini katanya perlu dimansuhkan sepenuhnya agar ahli KWSP dibenarkan mengeluarkan RM10,000 dalam tempoh yang singkat.

“Walaupun skim i-Sinar telah ditambahbaik beberapa kali, pendirian PEMUDA UMNO ialah kriteria/syarat yang ditetapkan untuk permohonan di bawah kategori 2 adalah tidak adil dan tidak wajar.

“Pemuda UMNO tegas bahawa kriteria/syarat ini haruslah dimansuhkan sepenuhnya supaya ahli KWSP yang berada dalam kesusahan dan memerlukan akses kepada simpanan mereka dibenarkan untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dalam tempoh masa yang paling singkat,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 28 November yang lalu Pemuda UMNO menyediakan dua hotline bagi memantau aduan rakyat berkenaan pelaksanaan pengeluaran dari Akaun 1 KWSP dan lanjutan Moratorium pinjaman secara automatik.

Sayap UMNO itu membuka saluran aduan menerusi Facebook atau whatsapp melalui nombor telefon 013-7354116 atau 013-7354117.-MalaysiaGazette