Seorang warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup 450 ekor burung murai di perairan negara.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan menyeludup burung murai berjaya dipatahkan pada awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat di Lumut, Perak, Kapal DiRaja KD GEMPITA yang sedang melaksanakan operasi Op Benteng Laut di Sektor 8 telah mengatur gerak setelah menerima maklumat dari Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) yang mengesan satu kontak mencurigakan menuju ke perairan Teluk Ramunia.

Ia melibatkan lima bot pemintas milik TLDM dan sebuah bot Pasukan Polis Marin bagi memperketatkan pemantauan di sekitar Teluk Ramunia, Johor, ujarnya

“Tindakan ini adalah susulan daripada Tim Op Merpati 1 yang memaklumkan penglihatan sebuah bot mencurigakan sekitar perairan Teluk Ramunia pada jam 11.32 malam semalam.

“Salah satu bot RHIB TLDM telah berjaya menghalang dan menahan seorang tekong warganegara Indonesia dipercayai penyeludup dan sebuah bot dengan enjin berkapasiti 40 kuasa kuda tanpa permit dan dokumen yang sah pada jam 12.22 pagi,” kata markas itu.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di dalam bot tersebut menjumpai 45 bekas mengandungi muatan hidupan dipercayai burung murai.

Tambahnya, bot penyeludup serta barang rampasan telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan bernilai sebanyak RM180,409.00 yang melibatkan sebanyak 450 ekor burung murai bernilai RM165,409.

“Turut dirampas sebuah bot fiber bernilai RM5,000.00 dan enjin sangkut berjenama Yamaha bernilai RM10,000.00.

“Penyeludup ditahan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Sungai Mas untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette