Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan menerima resolusi parti yang disampaikan oleh Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran pada Majlis Perhimpunan Agong Parti Makkal Sakti Malaysia kali ke-12 di Pusat Konvensyen Tvc Little Chennai, Nilai, Negeri Sembilan. foto AFIQ HAMBALI, 27 DISEMBER 2020.

NILAI – Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menerima mana-mana parti bagi menyertai gabungan parti itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, perkara itu perlu diputuskan secara konsensus menerusi kesemua empat parti komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Kita mesti bersifat inklusif bukannya eksklusif lagi. Maka jika ditanya pandangan peribadi saya, lebih banyak parti bersepakat di bawah payung BN itu lebih baik kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dan kekuatan sedikit-sedikit ini jika dikumpulkan akan menjadi kekuatan yang besar nanti.

“Ini yang perlu kita bina dan lakukan untuk BN bina kekuatan baharu sebab BN dah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14. Apa jua asas dan dasar BN perlu dikaji semula supaya dua hala tuju iaitu perkasakan parti dan strategi untuk menang PRU ke-15 dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di sini hari ini yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri R.S. Thanenthiran.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran pada Majlis Perhimpunan Agong Parti Makkal Sakti Malaysia kali ke-12 di Pusat Konvensyen Tvc Little Chennai, Nilai, Negeri Sembilan. foto AFIQ HAMBALI, 27 DISEMBER 2020.

Mengulas mengenai permohonan Thanenthiran untuk parti itu bertanding di atas tiket BN di tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, ia wajar dipertimbangkan memandangkan parti itu masih setia bersama BN ketika susah dan senang meskipun bukan bertaraf parti komponen.

“Makkal Sakti merupakan parti rakan BN dan bukan komponen tetapi pertimbangan perlu diberikan kerana Makkal Sakti telah lama bersama membantu BN baik semasa menjadi kerajaan dan bukan kerajaan lagi. Saya yakin pertimbangan boleh dilakukan oleh jawatankuasa tertinggi BN berkenaan permohonan Makkal Sakti ini.

“Ada juga dari rakan lain yang menyatakan kehendak yang sama. Saya berpandangan bahawa banyak parti bersama-sama lebih inklusif BN tetapi itu terserahlah kepada kebijaksanaan kepemimpinan tertinggi BN… pertimbangan perlu diberi,” ujarnya.

Terdahulu, Thanenthiran dalam ucapan pada mesyuarat berkenaan, memohon BN untuk memberikan peluang kepada parti itu bertanding pada PRU-15 akan datang.

“Ini harapan kami dan kami sedia bertanding. Jika bukan PRU-15, bila lagi,” katanya.

Mesyuarat agung berkenaan yang dihadiri seramai 753 perwakilan dari seluruh negara turut meluluskan tiga resolusi iaitu menjadi parti komponen BN, bertanding dibawah payung BN pada PRU15 dan mengenai kesejahteraan masyarakat India di Sabah.

Resolusi berkenaan diserahkan Thanenthiran kepada Mohamad pada akhir mesyuarat berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.