Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Dasar-dasar pembangunan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan seperti Dasar Ekonomi Baru dan Program Transformasi Nasional telah berperanan penting sebagai program strategik negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kerajaan ketika itu telah berjaya melahirkan ramai golongan profesional daripada pelbagai bidang yang menyumbang kepakaran mereka kepada negara.

Justeru jelas beliau, pembangunan serta kejayaan ekonomi yang dinikmati rakyat hari ini adalah jasa terbesar kerajaan BN yang bersifat inklusif meliputi aspek pembangunan bandar serta luar bandar.

“Jika kita mahu pembangunan negara terus mampan, kita perlukan kerajaan yang kuat dengan tadbir urus yang cekap serta rule of law yang berkesan.

“Pembangunan akan terbantut jika kerajaan pemerintah sentiasa bertukar ketika pilihan raya. Dasar sebelum ini akan diganti dengan dasar baru yang belum kita tahu keberkesanannya.

“Oleh itu kita perlukan kerajaan yang kuat seperti kerajaan BN agar satu dasar pembangunan yang strategik, berdaya saing dan mempunyai hala tuju yang jelas dapat dibangunkan untuk membawa Malaysia kembali ke arah kegemilangan,” katanya di hantaran Facebooknya hari ini.

Kenyataan itu merupakan kesimpulan hujahan beliau dalam forum secara maya ini anjuran  Biro Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di mana beliau adalah timbakan ketua bahagian itu. – MalaysiaGazette