Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi semalam.-Gambar FB.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO semalam membuat satu laporan polis berkenaan isu penting mengenai penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz yang disyaki terlibat dengan kes 1MDB.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, terdapat keraguan yang membimbangkan berkenaan penglibatan suami dan dua anak bekas Gabenor itu.

Ini kerana sebuah syarikat yang didakwa milik suami dan bekas gabenor itu menerima wang berjumlah USD 16,219,409.23 daripada entiti yang mempunyai pendaftaran di bawah nama Jho Low.

Juga disebut dalam laporan itu, Tan Sri Zeti dan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah telah berjumpa dengan Jho Low beberapa kali dan mereka mempunyai makluman mengenai bayaran yang telah diterima oleh suami dan anak-anak Tan Sri Zeti.

“Pemuda UMNO khuatir kerana sehingga hari ini, tidak pernah ada sebarang kaitan atau siasatan terperinci dan tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap individu-individu penting di Bank Negara Malaysia berkenaan salahguna dana 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Shahrul Nasrun terdapat beberapa persoalan yang perlu dirungkaikan dalam senario terkini dalam skandal 1MDB dan antaranya adakah benar transaksi-transaksi yang melibatkan ahli keluarga Zeti berkait dengan 1MDB atau Jho Low dan apakah kaitan di antara Jho Low dan suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Kedua mengapakah Zeti yang merupakan antara individu yang bertanggungjawab melibatkan transaksi besar dalam dan luar negara kini berdiam diri mengenai dakwaan berkenaan.

“Pemuda UMNO mendesak agar pihak PDRM dan seterusnya SPRM dapat memberikan satu tumpuan khusus untuk menyiasat berkenaan segala dakwaan, tuduhan dan fakta-fakta yang telah dikeluarkan oleh sebuah laman portal berita sebelum ini.

“Pemuda UMNO mahu pendedahan yang melibatkan soal integriti di kalangan penjawat jawatan tertinggi di institusi kewangan tertinggi di Malaysia diberikan keadilan sewajarnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette