PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang lelaki yang dipercayai penjenayah dikehendaki polis ditemukan mati, disyaki akibat ditetak dalam pertengkaran dengan sekumpulan individu dalam kejadian berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat lelaki berusia 34 tahun tersebut ditemukan orang awam pada 11.30 pagi tadi, kira-kira 30 meter dari sebuah bangsal yang dipercayai menjadi tempat kegiatan menghisap dadah.

“Siasatan awal polis mendapati lelaki itu ke bangsal berkenaan pada kira-kira 7.30 malam semalam untuk bersemuka dengan kumpulan terbabit kerana tidak berpuas hati adiknya ditahan polis susulan satu kes tetak pada November lalu.

“Dipercayai berlaku pertengkaran dan lelaki itu cuba melarikan  diri namun terjatuh sebelum mayatnya ditemukan pagi tadi dengan kesan tetakan pada bahagian belakang badan dan pergelangan tangan hampir putus,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan polis di lokasi menemukan sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Mengulas lanjut, A. Asmadi berkata, semakan polis mendapati si mati mempunyai 12 rekod lampau berkaitan pelbagai jenayah termasuk bunuh selain diburu polis bagi membantu siasatan kes tetak pada November lalu.

“Polis akan melancarkan operasi bagi mengesan kesemua suspek dan kes ini disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan,” katanya. – MalaysiaGazette