Dr. Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Kehadiran para perwakilan UMNO ke mesyuarat bahagian yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, tetap bersemangat walaupun diadakan dalam suasana norma baharu.

Ini diakui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahdzir Khalid yang bertanggungjawab bersama dua lagi rakan sejawatannya memantau Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 Bahagian.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap itu, mesyuarat perwakilan tahun ini terpaksa diadakan dalam norma baharu memandangkan wabak Covid-19 masih menular dan belum ada tanda-tanda reda.

“Namun, saya melihat kehadiran perwakilan tetap bersemangat dan keadaan politik semasa yang penuh warna-warni memberi gambaran jelas ahli UMNO di peringkat akar umbi masih setia dengan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Semalam beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap yang kemudiannya diikuti perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian itu.

Mahdzir mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Padang Terap serta seluruh jawatankuasa bahagian kerana datang bermesyuarat.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan Mesyuarat Bahagian UMNO yang telah tertangguh beberapa kali berikutan penularan Covid-19 diadakan secara serentak dengan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing dari 1 hingga 3 Januari ini.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 31 Januari 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kata beliau, kehadiran pada perhimpunan saya dan PAU itu hanya dihadkan kepada Ketua Bahagian sahaja, manakala perwakilan dan ahli berada di bahagian masing-masing untuk menyaksikan persidangan secara maya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast