Setiausaha Agung Parti Gerakan. Mah Kah Keong .

KUALA LUMPUR – Insiden sebuah restoran di Pulau Pinang yang meletakkan kertas hiasan dinding karikatur pemimpin revolusi komunis, Mao Tse Tung juga pengasas Republik Rakyat China tidak boleh diterima sama sekali.

Walaupun Malaysia mengamalkan hubungan diplomatik dengan China namun pada masa tidak pula mengiktiraf fahaman atau ideologi di republik itu.

Setiausaha Agung Gerakan, Mah Kah Keong mendakwa apa yang berlaku seakan-akan membenarkan tanggapan sesetengah pihak yang menganggap DAP sebuah parti yang membawa fahaman  komunis.

“Mana tidaknya? DAP tetap tiada masalah untuk kedai makan seperti ini mempamerkan simbol atau gambar yang membawa fahaman komunisme yang tidak diterima pakai di negara ini.

“Perkara ini hanya berlaku di negeri jajahan mereka. Jadinya pandangan umum tentang parti ini tidak boleh disangkal sama sekali bukan begitu? Saya tidak menuduh tetapi sekadar melontarkan persoalan.

“Juga hendak saya tanya, sebelum ini isu komik propaganda komunis dan DAP, ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, adakah itu tidak berjaya kini bertukar strategi dengan meletakkkanya di kedai makan pula?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Baru-baru ini polis menyerbu restoran Xiang Ge Li Li La Authentic Hunan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum bertindak menurunkan gambar latar dinding yang memaparkan lakaran menyerupai karikatur komunis.

Isteri pemilik restoran itu yang berasal dari China mengatakan perkataan Cina di poster itu tidak mempromosi komunisme tetapi sebaliknya membawa slogan jenaka mengenai makanan.

Tegas Kah Keong lagi, DAP sebenarnya penghakis persefahaman serta perpaduan melalui tindak tanduk seperti itu yang akhirnya menyebabkan masyarakat  pelbagai kaum menjadi gelisah serta bimbang.

“Ini juga punca mengapa Pakatan Harapan tumbang tidak sampai dua tahun berkuasa, fahaman serta ideologi seperti tidak akan sesekali diterima.

“Secara terbuka saya katakan, saya amat menyokong tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan dengan segera dalam isu ini.

“DAP ini bagaikan jarum halus, bagai tulang ikan yang tersangkut dalam ‘kerongkong’ perpaduan negara yang harus dimusnahkan,” tegasnya. -MalaysiaGazette