Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader bercakap kepada media ketika hadir ke Pengumuman Perhimpunan Agung KIMMA Ke-43 dan Pemilihan Jawatankuasa Utama bagi Sesi 2020-2023 di Ibu Pejabat KIMMA, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 04 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sedia menuruti apa sahaja keputusan UMNO susulan keputusan 189 daripada 191 Bahagian parti itu menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Syed Ibrahim Kader berkata, sebagai parti gabungan UMNO, KIMMA tidak mempersoalkan apa juga usul yang dibawa 189 Bahagian itu, lebih-lebih lagi daripada akar umbi.

“Kita akan ikut keputusan UMNO, apa pun keputusan dibuat, mereka akan bercerita dan terang kepada kita.

“Kita akan ikut (keputusan) pasal apa kita adalah parti gabungan, pendirian saya ini memang kita ikut dengan UMNO saja,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Menara Dato Onn, hari ini.

Beliau mengulas lanjut akar umbi UMNO memberi isyarat jelas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM.

Ini berdasarkan keputusan 189 daripada 191 Bahagian yang selesai bermesyuarat semalam membawa usul menolak sebarang kerjasama antara kedua-dua parti itu pada PRU15.

Hanya dua bahagian yang menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan PPBM iaitu satu di Kelantan dan satu lagi di Perlis berdasarkan kepada kedua-dua pemimpin dari Bahagian tersebut.

Dalam pada itu, sebagai seorang Presiden, Syed Ibrahim sangat memahami keadaan itu dan penolakan itu datang daripada akar umbi yang tidak boleh diabaikan dan perlu dipandang serius.

“Bila kita tengok (usul UMNO) sebab saya pun presiden, kalau 189 Bahagian, bererti ia suara akar umbi, parti ini tidak jalan ikut presiden atau jawatankuasa utama di atas.

“Walaupun dicalon dan dimenangkan oleh akar umbi, sekarang ini akar umbi yang beritahu dia tak mahu sokong itu (PPBM), jadi kita kena dengar.

“Kalau ini terjadi kepada saya, saya akan ambil serius apa yang datang daripada akar umbi atau pilihan semua bahagian

“Ini terpulang kepada UMNO mereka ada cara tersendiri, mereka banyak pengalaman, dengan 191 bahagian dan 3.7 juta ahli memang ambil keputusan wajar sesuai dengan keadaan sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette