KUALA LUMPUR – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) akan mengadakan pemilihan kepimpinan parti mesra UMNO itu bagi sesi 2020 hingga 2023 di Ehsan Convention Centre, Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 30 Januari dan 20 Februari ini.
Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kadir berkata, proses penamaan calon akan diadakan selama 10 hari bermula 10 Januari hingga 20 Januari ini bagi kesemua jawatan tertinggi KIMMA.
“Pada 10 Januari ini (Ahad) kita akan keluarkan borang pencalonan yang akan diadakan di Auditorium UMNO Aras 4, dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Pada 20 Januari ini pula adalah tarikh tutup menghantar borang pencalonan bagi pemilihan kali ini.
“Ini melibatkan jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib presiden, ahli majli tertinggi, Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri serta Exco sayap KIMMA,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Menurutnya, pemilihan KIMMA bagi Sesi 2020-2023 perlu dijalankan sebelum Jun ini memandangkan parti itu sebelum ini telah mengemukakan penangguhan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang sepatutnya diadakan pada Ogos lalu akibat pandemik Covid-19.
Pada pemilihan kali ini, pihaknya perlu menghadkan jumlah perwakilan yang hadir sehingga 50 peratus atau minimum 500 perwakilan memandangkan kes Covid-19 masih tinggi dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita kena hadkan perwakilan kali ini separuh daripada 1,990 perwakilan sedia ada, kita tak boleh bawa semua perwakilan ini kerana KKM tidak benarkan.
“UMNO pun jalankan mesyuarat perwakilan mereka berlainan kali ini dengan kurangkan perwakilan mereka.
“Walaupun kita benarkan 10 perwakilan daripada setiap 88 bahagian KIMMA hantar wakil, tapi kita akan pastikan kouta yang kita perlukan untuk pemilihan kali ini,” jelasnya.
Sementara itu, KIMMA perlu menjalankan pemilhan jawatankuasa tertingginya dan mesyuarat agung secepat mungkin sebelum Mac ini bagi bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tahun ini adalah tahun pilihan (PRU15) jadi saya terpaksa buat pemilihan KIMMA dalam masa terdekat,” katanya.
Ditanya sama ada beliau mahu mempertahankan jawatannya sekarang, Syed Ibrahim bagaimanapun mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mahu bersara lebih awal dan memberi laluan kepada pelapis lain.
“Saya pun ada hasrat untuk bersara, majlis tertinggi minta saya berada dalam parti satu atau dua penggal lagi.
“Saya ada beritahu kepada majlis tertinggi untuk bersama dengan mereka untuk sepenggal lagi dan lepas itu saya akan serah balik kepada pimpinan baharu yang layak, kita ada timbalan dan tiga naib presiden sedia ada.
“Kita tengok sesiapa yang layak untuk ambil alih (jawatan presiden) kerana kita tahu jawatan ini ada tanggungjawab tinggi, kena kerja sepenuh masa, tak boleh separuh masa.
“Perkara ini banyak saya fikir, saya 66 tahun bukan 94 tahun, kita sentiasa fikir untuk beri ruang kepada orang muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















