Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil serta yang lain menunjukkan laporan polis mengenai isu kartel daging haram di Balai Polis Pantai, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menegaskan selaku wakil rakyat, beliau tidak mahu kerajaan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan kartel daging import haram.

Justeru beliau menggesa kerajaan mengesahkan sama ada benar wujud penglibatan pegawai-pegawai atasan daripada agensi kerajaan yang menjadi dalang dalam isu berkenaan.

Tambahnya, sekiranya wujud apakah tindakan yang diambil kepada pegawai yang terlibat melepaskan kemasukan daging berkenaan.

“Persoalannya beberapa akhbar mendedahkan keterlibatan pegawai-pegawai agensi kerajaan yang bersekongkol membolehkan daging-daging ini dibawa masuk dan dilepaskan ke gudang-gudang, apakah tiada tindakan terhadap mereka?

“Adakah mereka telah ditangkap? Adakah ketua-ketua jabatan telah diambil tindakan? Siapakah sebenarnya yang telah membenarkan kartel ini wujud sekian lama. Kita tidak mahu ada apa-apa usaha untuk melindungi mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Fahmi Fadzil hadir ke Balai Polis Pantai untuk membuat laporan polis bagi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan berhubung isu itu dalam usaha memastikan dalang  di sebalik kartel tersebut dibawa ke muka keadilan.

Turut hadir membuat laporan polis wakil daripada Parti Amanah Negara dan PKR selain lima buah NGO iaitu Pertubuhan Insan Marhaen, Wilayah Persekutuan, Generasi PKR Malaysia, Kebajikan Harmoni Ukhuwah, Pertubuhan Nadi Harapan Malaysia dan Muafakat Prihatin (Pemurah).

Tambah Fahmi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh melepaskan agensi-agensi berkaitan dengan kemasukan daging import terlepas daripada siasatan.

“Kami juga memohon agar pihak polis menyiasat secara menyeluruh tanpa prejudis dan menyegerakan mana-mana kertas siasatan kepada Jabatan Peguam negara sekiranya belum,”tambahnya.

Dalam masa sama, Fahmi yang bersetuju agar cadangan merombak Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dipertimbangkan menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan pendiriannya untuk merehatkan pegawai sekiranya didapati terlibat dengan kartel ini .

“Saya rasa ini satu perkara yang perlu dipertimbang dan saya tidak ada masalah sekiranya sepatutnya mereka yang dipercayai terlibat dikenakan tindakan segera seperti direhatkan agar mereka tidak mengganggu proses siasatan. Apakah itu berlaku? Kita belum mendengar daripada menteri.

“Saya minta Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Al Bakri menyatakan pendirian adakah beliau bersedia untuk merehatkan beberapa pegawai atasan sekiranya dipercayai terlibat supaya proses siasatan itu dapat dilakukan dengan baik,” ujarnya.

Baru-baru ini, isu kartel daging import mula mendapat perhatian selepas media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan syarikat ternama terlibat dalam kartel daging import haram ini.

Polis Johor juga memaklumkan akan membuka kertas siasatan berhubung isu ini. – MalaysiaGazette