UMNO perlu membuktikan kepada rakyat yang sedang menilai, bahawa parti itu berani bertindak bukan sekadar menyerang seterunya. - Md Jais Sarday
Md. Jais Sarday

KUALA LUMPUR – UMNO Kluang memberi tiga syarat untuk parti itu kembali memimpin kerajaan dan politik negara.

Antara syarat itu ialah, pemimpin UMNO tidak boleh bertelingkah sesama sendiri, sama ada kepimpinan peringkat tertinggi, negeri, bahagian atau cawangan.

Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Md. Jais Sarday berkata, syarat kedua ialah gerak kerja parti perlu seiring dengan perkembangan pantas dunia kini, khususnya teknologi maklumat menyebarkan informasi melalui pelbagai medium media sosial.

“Ketiga, UMNO perlu membuka ruang kepada anak muda, yang mana kita bukan sekadar memerlukan tenaga mereka, tetapi juga menyelami pemikirannya.

“Anak muda abad ke-21 adalah golongan yang kreatif dan inovatif, tidak mahu terkongkong dengan alunan sejarah masa lalu dan begitu ghairah untuk meneroka sesuatu yang baharu dalam mengejar kejayaan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Bendahari UMNO Johor itu berkata, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian itu Ahad lalu, beliau menitipkan beberapa ingatan dan pesanan penting kepada pemimpin dan ahli akar umbi.

Antaranya, ujar beliau, UMNO bukan parti dominan kerajaan dan tidak boleh menentukan dasar secara bersendirian, termasuk lantikan jawatan dalam masyarakat seperti ketua kampung, ahli majlis dan lain-lain.

“Walaupun hakikatnya UMNO adalah penggerak aktiviti masyarakat di kampung, di taman, di rumah pangsa dan lain-lain.

“UMNO juga perlu mengekalkan konsep kesederhanaan yang mengambil kira perihal kaum dan agama lain, sepertimana ketika memimpin Barisan Nasional (BN)

“Justeru, UMNO perlu kembali kepada landasan asal sebagai parti berfahaman sederhana. UMNO bukan sahaja mempunyai pengalaman membangunkan negara, tetapi juga perlu meneruskan sikap sentiasa mendengar keluhan serta pandangan rakyat,” katanya.

Kata Md. Jais, naratif UMNO seharusnya memperkukuhkan semula BN, di samping meneroka hubungan baharu dengan parti lain melalui Muafakat Nasional (MN) serta berani berubah dan menonjolkan pemimpin berilmu, bijaksana dan berintegriti.

Jelas beliau, denyut nadi rakyat yang serik dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurus kerajaan, selain tidak ada kesefahaman sesama mereka, maka segala pengharapan diletakkan semula kepada UMNO dan BN untuk kembali menjaga kebajikan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ini yg paling tepat……pemimpin di kalangan “klaster mahkamah” perlu dirihatkan keahliannya terlebih dahulu sehingga kes nya selesai, barulah rakyat berduyun menyokong UMNO kembali.

Comments are closed.