Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi peringatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak mengganggu kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) milik parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, beliau mahu Bersatu memilih kawasan yang dimiliki oleh parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Tegasnya, tidak ada sebab kenapa parti itu mesti mengganggu kawasan yang sekian lama menjadi milik serta kubu kuat UMNO dan BN.

“Saya pun tak faham. Ini pertama kali saya cakap kenapa (Bersatu) mesti ganggu atau kacau rumah tangga UMNO, BN?

“Kenapa Bersatu nak berkubang (bertanding) dalam kubang (kawasan) kita? Kau berkubanglah dalam kubang PAN (Amanah), kubang PKR.

“Kau praktikkanlah strategi lautan biru (logo Perikatan Nasional) di kawasan Amanah, PKR dan DAP, kerana di sini (kawasan UMNO, BN) sudah ada lautan merah,” katanya dalam Bual Bicara Eksklusif bersama Timbalan Presiden UMNO, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi bagi UMNO menjelaskan, UMNO dan Pas sudah berkongsi penyokong dan kawasan, tiba-tiba datang satu lagi parti mahu mengambil hak milik kedua parti itu.

Tentulah, katanya, ahli UMNO tidak suka, tambahan pula ada gerakan dilakukan untuk melemahkan UMNO.

“Sudah tentulah UMNO tidak merasa selesa dan pada masa sama, jangan salahkan kita, kerana kita dah bersetuju bagi kau (jawatan Perdana Menteri), kita sokong walaupun kau (hanya ada) 13 kerusi.

“Kau jadi Perdana Menteri, tak apalah kita setuju. Walaupun kita tak ada jawatan penting, jawatan kanan, tak apa kerana kita dah berjaya jatuhkan DAP. Itu asasnya, tapi sekarang ini kau main cerita UMNO tamak kuasalah, tak dapat jawatanlah. Ayuhlah kawan.

“Saya nak tanya, kenapa kamu tidak boleh ambil kawasan PKR, kawasan Amanah? Kawasan pembangkang ini lebih besar di sana. Campur PKR, campur DAP ada hampir 100 kerusi,” ujarnya.

Mohamad atau Tok Mad menegaskan, sebagai Timbalan Presiden parti, beliau akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir dan tidak akan berdiam diri jika ada mana-mana pihak menuduh UMNO dayus.

Katanya, beliau tidak kisah UMNO menjalinkan kerjasama kerana dengan cara itu parti akan mendapat banyak faedahnya, tetapi berharap ia tidak melemahkan parti dan menentang keras jika ada rakan mahu mengambil kawasannya. – MalaysiaGazette