Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong yang ‘dihentam’ bertub-tubi berhubung perkhidmatan feri Pulau Pinang, mengajak Lim Guan Eng menaiki pengangkutan itu bersama-sama minggu depan.

”Harap Guan Eng dapat kosongkan jadual,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Pelawaan itu dipercayai bagi membuktikan perkhidmatan feri lama tetap diteruskan walaupun bot laju diperkenalkan.

Ka Siong mendakwa walaupun sudah banyak kali dijelaskan mengenai operasi feri tetapi Guan Eng sengaja buat-buat tak faham kerana mahu bermain politik.

Sedangkan, katanya, usaha menggantikan feri lama dengan bot laju dicadang, dilulus dan dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

”Saya cuma meneruskannya kerana merasakan ia sesuatu yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat. Saya juga berusaha untuk mendapatkan peruntukan, bukan seperti Guan Eng dan DAP yang dilihat hanya tahu bercakap tetapi gagal melaksanakannya.

”Lagipun kita bukannya buang terus feri lama tersebut. Sebaliknya perkhidmatan feri lama tetap diteruskan,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Persekutuan juga telah menawarkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk ambil alih operasi beberapa buah feri lama.

Tetapi setakat ini, mereka belum lagi membalas tawaran tersebut.

Artikel berkaitan: Isu feri ikonik: Gerakan dakwa DAP bijak bermain wayang

Guan Eng ajak rakyat ucap ‘selamat tinggal’ kepada feri Pulau Pinang

Feri ikonik P.Pinang diteruskan, hanya untuk basikal, motosikal mulai 1 Jan

Pemodenan perkhidmatan feri Pulau Pinang demi keselamatan penumpang

Guan Eng cabar Ka Siong buktikan bila PH buat keputusan tamatkan operasi feri

Tamat perkhidmatan feri bukan keputusan saya – Anthony

Tamat perkhidmatan feri, kasihanlah Pulau Pinang – Guan Eng

Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan – Zafrul

Menjawab mengenai LRT Pulau Pinang, Ka Siong menjelaskan kelulusan yang diberikan Guan Eng kepada Asia Development Bank (ADB) bagi membolehkan Pulau Pinang meminjam sebanyak AS$500 juta dalam matawang asing dengan jaminan Kerajaan Persekutuan telah dibatalkan Kementerian Kewangan oleh Kerajaan PN.

Ini kerana kadar faedah ADB lebih tinggi memandangkan Malaysia tidak lagi diklasifikasikan oleh bank itu sebagai sebuah negara membangun.

Pinjaman dalam matawang asing juga meningkatkan risiko kepada kerajaan sekiranya nilai ringgit merosot.

Ini sama seperti bon Samurai yang dulunya dikatakan oleh Guan Eng kadar faedahnya amat rendah tetapi akhirnya kadar faedah efektif susulan kenaikan nilai matawang Jepun adalah setinggi 7.7 peratus.

Berhubung projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Ka Siong berkata, projek itu sebenarnya telah diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam Belanjawan 2018.

Malaysia Airports Berhad (MAHB) akan menanggung sepenuhnya kos projek ini, dalam erti kata lain, projek sudah pun berjalan sebelum PRU14 lagi.

Namun ianya tergendala apabila Guan Eng mengumumkan projek lapangan terbang-lapangan terbang di Malaysia akan dijalankan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Guan Eng sendiri yang umumkan dalam perbahasan Belanjawan 2019 ketika beliau menjadi Menteri Kewangan,” ujarnya.

Susulan itu, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditangguhkan sekali lagi apabila Guan Eng menyuruh MAHB untuk berunding dengan syarikat Ideal Property.

Akibat beberapa penangguhan semasa pemerintahan kerajaan PH, maka MAHB tidak berpeluang untuk memulakan projek tersebut, tambah Ka Siong lagi.

Malangnya, projek tersebut terpaksa ditangguhkan sekali lagi apabila jumlah pengguna lapangan terbang menurun secara mendadak akibat Covid-19 dan keadaan ini menyebabkan MAHB menerima tekanan aliran wang tunai.

”Namun, kerajaan dan saya secara peribadi tidak mempunyai apa-apa halangan jika MAHB ingin teruskan projek tersebut sekiranya sektor penerbangan kembali pulih,” katanya sambil memaklumkan perkara itu adalah jaminan saya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang ketika mengadakan pertemuan di Parlimen pada tahun lepas. – MalaysiaGazette