Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Saiful Wan Jan berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan CSR PTPTN Kepada Persatuan-Persatuan Penduduk PDRM Parlimen Setiawangsa di Perumahan PDRM Menara Seri Kemboja, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melepaskan jawatannya kerana sehingga kini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu masih menerima sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Malah kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, akar umbi sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi parti itu menyokong penuh kepimpinan Presiden mereka.

“Saya rasa di peringkat kita seluruh jentera parti, semua ahli parti seluruh kepimpinan Bersatu menyokong sepen uhnya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

“Tidak ada keperluan untuk beliau ke mana-mana dan beliau menerima sokongan majoriti ahli Parlimen sekarang ini untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di Perumahan PDRM Menara Sri Kemboja pada malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media malam tadi yang menasihatkan Muhyiddin meletakkan jawatan apabila menyifatkan Presiden Bersatu itu menghadapi masalah dan lemah dengan bekerjasama dengan UMNO.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, waktu ini bukanlah masa yang sesuai untuk berpolitik secara keterlaluan.

Justeru beliau menyarankan ahli politik berhenti berpolitik sebaliknya bantu rakyat yang kini dibelenggu pelbagai masalah.

“Saya rasa yang penting sekali kita sebagai orang politik elok berhenti berpolitik. Berhenti mempolitikkan, bermain dengan isu politik dengan keterlaluan rakyat sekarang dalam kesusahan, bencana Covid-19 di beberapa tempat dilanda banjir itu belum lagi cakap tentang orang yang hilang pekerjaan, orang yang sedang mencari peluang pekerjaan bahru banyak perkara yang kita perlu laksanakan.

“Jadi elok kita hentikan politik yang berlebihan kita tumpukan membantu rakyat, kita pastikan kita boleh bergerak ke hadapan,” tambahnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr Mahathir nasihat Muhyiddin letak jawatan