Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

AMAT terkejut membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh 10 mantan Presiden Bar Council, iaitu Datuk Param Cumaraswamy, Zainur Zakaria, Datuk Dr. Cyrus V. Das, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Christopher Leong dan Steven Thiru yang membuat dakwaan karut berikut:

Kononnya kerajaan telah memulakan satu duluan merbahaya bagi Proklamasi Darurat bila prasyarat yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak dipenuhi.

Dakwa mereka Proklamasi Darurat adalah digantungkan kepada pandemik Covid–19, tetapi pandemik Covid-19 bukanlah satu alasan sah untuk darurat.

Tidakkah mereka tahu dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1968) telah diputuskan bahawa istilah darurat adalah meliputi peperangan, kebuluran, gempa bumi, epidemik dan keruntuhan kerajaan sivil?

Tidakkah mereka sedar bahawa tokoh seperti pakar perlembagaan terkenal negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi sendiri telah menyatakan dalam akhbar The Star pada 14 Januari lalu, bahawa pandemik Covid-19 adalah satu alasan sah untuk darurat kerana ia termasuk sebagai satu darurat?

Tidakkah mereka sedar bahawa tokoh seperti mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram juga telah menyatakan dalam portal berita Free Malaysia Today pada 12 Januari lalu, bahawa asas yang digunakan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat adalah termasuk dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan?

Tidakkah mereka juga sedar bahawa seorang lagi pakar perlembagaan terkenal negara, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan seorang peguam yang banyak memberikan komentar perlembagaan dalam media massa dan twitternya, Syahredzan Johan walaupun kedua-duanya adalah orang kuat DAP, juga telah menyatakan dalam portal berita The Malaysian Insight pada hari ini, 17 Januari, bahawa Proklamasi Darurat itu adalah sah?

Kononnya, adalah penting bahawa kedua-dua Proklamasi Darurat dan apa-apa Ordinan yang dibuat berdasarkan kepada Proklamasi Darurat dibentangkan di hadapan Parlimen sesegera mungkin kerana kononnya Proklamasi Darurat dan apa-apa Ordinan yang dibuat berdasarkan kepada Proklamasi Darurat wajib dibentangkan di Parlimen di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan?

Tidakkah mereka tahu bahawa peruntukan yang menghendaki “Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang” hanya wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum 15 Mei 1981 sahaja dan bahawa peruntukan ini sudah dimansuhkan bermula dari tarikh tersebut?

Tidakkah mereka sedar bahawa satu tesis doktor falsafah berwibawa dari Brunel University pada tahun 1994 oleh Datuk Dr. Cyrus V. Das sendiri merumuskan bahawa ketiadaan tempoh spesifik dalam mana sesuatu Proklamasi Darurat perlu dibentangkan di Parlimen menyebabkan terpulang kepada kerajaan untuk berbuat demikian bila-bila masa sekalipun.

Ini adalah rumusan penuh tesis doktor falsafah tersebut: “In the absence of any imperative under Clause (3) requiring that a Proclamation should be laid before Parliament within a defined period, or the time within which Parliament should be convened to decide on the continuance of a Proclamation, the pathway was cleared for the executive Government to ride on an Emergency as long as it wants… If a Proclamation is made when Parliament is not in session, it is open to the Executive to wait till Parliament ordinarily meets to lay the Proclamation before it or to skip the first session altogether because there is no injunction that the laying of the Proclamation should be in the session soon after the Proclamation was made.”

Tidakkah mereka juga sedar bahawa Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan Syahredzan Johan, walaupun kedua-duanya adalah orang kuat DAP, juga telah menyatakan di dalam portal berita The Malaysian Insight pada hari ini, 17 Januari, bahawa “Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa setelah Parlimen bersidang pengisytiharan darurat perlu dibentangkan di Parlimen, ia tidak mengatakan mesti dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan.”

Apa motif 10 mantan Presiden Bar Council ini mengeluarkan kenyataan media mengelirukan yang bercanggah dengan fakta-fakta perundangan yang ada, malah yang bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh tokoh-tokoh lain yang jauh lebih pakar dan lebih berpengalaman daripada mereka? – MalaysiaGazette

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan juga penganalisis politik