Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada Pfizer (M) Sdn Bhd dan memantau perkembangan kematian 23 individu berusia 80 tahun di Norway selepas menerima vaksin Covid-19.

Pemantauan itu termasuk tindakan yang diambil oleh badan regulatori antarabangsa yang lain seperti European Medicines Agency (EMA).

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Babab berkata, KKM sentiasa komited dalam memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

Menurutnya, KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Sekiranya terdapat kesan advers selepas penggunaan produk vaksin berdaftar, orang ramai boleh melaporkan kesan advers susulan imunisasi ini sama ada melalui profesional kesihatan atau melaporkan terus kepada NPRA melalui laman sesawang, https://npra.gov.my.

Kata beliau, vaksin Covid-19; COMIRNATY Concentrate For Dispersion For Injection keluaran Pfizer-BioNTech telah diberikan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021 oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Pendaftaran ini diberi agar akses segera kepada vaksin ini diperolehi untuk pencegahan pandemik penyakit COVID-19 yang sedang melanda dunia, termasuk Malaysia.

”Data efikasi dan keselamatan bagi vaksin ini diperolehi daripada kajian klinikal fasa III yang melibatkan 44,000 orang sukarelawan, yang turut membabitkan golongan yang berumur lebih daripada 75 tahun.

”Berdasarkan kajian klinikal tersebut, vaksin ini telah menunjukkan 95% keberkesanan dalam mencegah jangkitan Covid-19 yang bergejala apabila diberikan dua dos
lengkap dalam selang masa 21 hari. Kajian klinikal menunjukkan kesan advers adalah dalam julat yang boleh diterima dan adalah bersifat sementara,” katanya.

Minggu lalu, Norwegian Medicines Agency melaporkan kes kematian dalam kalangan penerima warga emas yang uzur, selain mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Autopsi menunjukkan penerima mengalami demam, mual dan cirit-birit yang merupakan kesan advers biasa selepas penerimaan imunisasi. – MalaysiaGazette

Pihak kesihatan Norway dakwa kematian warga tua mungkin ada kaitan dengan vaksin