Noh memegang seorang kanak-kanak dipercayai cucunya untuk menjalani ujian calitan Covid-19 di rumahnya.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkongsi pengalaman apabila seluruh ahli keluarganya terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

Menerusi Facebooknya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu memberitahu, ujian calitan itu terpaksa dibuat selepas menantu beliau Hisham yang tinggal serumah dengannya didapati positif wabak itu.

“Assalamualaikum..tanpa diduga Hisham menantu saya positive Covid 19…kami tinggal serumah..pagi ini saya sekeluarga telah menjalani Covid test,” demikian menurut status terbaharu beliau di laman sosial berkenaan.

Menerusi status tersebut, Noh turut memuatnaik tiga keping gambar yang menunjukkan ujian calitan dilakukan ke atas seorang kanak-kanak dipercayai cucunya.

Berdasarkan situasi pada gambar, ujian saringan itu dipercayai dibuat di rumahnya.

Justeru Noh turut memohon rakan taulannya mendoakan agar keputusan yang akan diperoleh hasil daripada ujian itu negatif dan mengharapkan agar segala urusannya dipermudahkan. – MalaysiaGazette