Gara-gara 'bermain' telefon bimbit, seorang pemandu kereta telah melanggar Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 di Jalan Klang Lama di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Gara-gara ‘bermain’ telefon bimbit, seorang pemandu kereta telah melanggar Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian itu mengakibatkan papan tanda pemeriksaan polis mengalami kerosakan.

Pemandu berusia 40 tahun itu memandu kereta Perodua Myvi.

“Kejadian pukul 5:50 petang itu polis telah bertindak menangkap suspek dan merampas kereta yang dipandunya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kesitu  disiasat di bawah Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya.

Mengulas lanjut, Anuar memaklumkan, lelaki berkenaan memberi alasan mahu membeli makanan di Taman Gembira.

Bagaimanapun, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil saringan air kencing adalah negatif.

Justeru orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kerana kecuaian akan membahayakan diri dan pengguna jalanraya yang lain.-MalaysiaGazette