RHB
RHB

KUALA LUMPUR – RHB Banking Group menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 6.3 peratus, mencerminkan tinjauan pertumbuhan lebih konservatif susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

Senario asas kumpulan itu adalah dengan mengandaikan PKP 2.0 akan dilaksanakan selama empat minggu, kata Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidik Pasarannya Dr Sailesh Kumar Jha.

“Penggunaan swasta dijangka paling terjejas akibat sekatan PKP 2.0 dengan aktiviti runcit dijangka menyusut dinilai daripada penurunan drastik indeks mobiliti.

“Bagaimanapun, penurunan mobiliti dilihat lebih kecil berbanding PKP 1.0 (Mac 2020) yang mencerminkan impak agak sederhana walaupun ketara kepada sektor runcit,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, katanya, PKP 2.0 juga dianggap lebih singkat yang akan membawa kepada impak agak kecil.

“Bencana banjir di Pantai Timur dan Borneo juga memburukkan lagi keadaan walaupun dijangka terhad memandangkan sumbangan kecil wilayah-wilayah tersebut kepada jumlah KDNK,” katanya.

Jha berkata, pertumbuhan pelaburan juga dijangka menerima impak berikutan aktiviti sektor pembinaan yang kurang aktif, yang setakat ini merupakan antara aktiviti terpilih yang dibenarkan beroperasi, termasuk penyenggaraan dan pembaikan kritikal serta projek prasarana awam utama.

Mengenai pengumuman rangsangan fiskal terbaharu kerajaan berjumlah RM15 bilion, Jha berkata ia akan membantu mengimbangi sebahagian daripada tekanan kepada penggunaan swasta dalam tempoh terdekat tetapi tidak begitu banyak.

“Keseluruhannya, kami menjangka perbelanjaan fiskal sebenar oleh kerajaan perlu dalam jajaran RM4 bilion hingga RM5 bilion.

“Pada tahun ini secara keseluruhan, sokongan fiskal dijangka terus meluas. Keadaan hanya dijangka kembali normal sehingga suku ketiga tahun ini,” katanya.

Mengenai dasar monetari, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 1.5 peratus pada Suku Pertama 2021.

“Risiko cenderung ke arah penurunan 25 mata asas lagi pada Suku Kedua 2021. Sebelum ini kami menjangkakan BNM mengekalkan kadar pada 2021.

“Pelonggaran dasar monetari diperlukan kerana momentum pertumbuhan dijangka lemah pada  separuh pertama tahun ini memandangkan program prasarana kerajaan yang kurang rancak tahun ini,” katanya.

Sementara itu, RHB mengekalkan unjuran KDNK pelaburan awam sebenar pada 8.1 peratus tahun ke tahun pada 2021 berbanding -4.2 peratus pada 2020.

“Kami berpendapat, perbelanjaan pembangunan sebenar oleh kerajaan Persekutuan dan perbadanan awam bukan kewangan menunjukkan laluan meningkat yang kukuh bagi 2021 pada RM118 bilion berbanding unjuran RM101 bilion pada 2020.

“Unjuran kami juga membayangkan perbelanjaan awam sebenar 2021 berada sekitar RM80 bilion berbanding RM74 bilion pada 2020,” katanya. – MalaysiaGazette