Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan hari ini mengesahkan lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cawangan Seremban termasuk seorang berpangkat inspektor, ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) pada Ahad lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata kesemua mereka yang berusia 33 hingga 47 tahun, ditahan kerana disyaki memiliki hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Saya tidak boleh mengulas banyak… (bagaimanapun) saya mengesahkan kita menerima laporan dan tindakan dibuat oleh Perhilitan,” katanya kepada pemberita selepas  melakukan tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Seremban-Labu (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini hari ini.

Katanya perbuatan menangkap, menembak atau memburu haiwan dilindungi merupakan satu kesalahan, dan mereka yang terlibat, baik orang awam mahupun anggota polis, tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan penahanan lapan anggota polis itu yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan maklumat yang tular itu,  lapan anggota FRU terbabit ditahan di Kuala Pilah pada 17 Jan lalu selepas pemeriksaan oleh Perhilitan  ke atas kenderaan dinaiki mereka menemukan satu kampit plastik yang berisi hidupan liar disyaki pelanduk.

Mereka disiasat menurut  Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan denda hingga RM1 juta dan penjara hingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata sebanyak 20 SJR akan dilaksanakan di seluruh negeri itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan semalam.

SJR berkenaan akan melibatkan 328 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi mengawal laluan keluar masuk sepanjang pelaksanaan PKP dari Jumaat ini hingga 4 Feb depan.

— BERNAMA