ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – IKRAM Legal menzahirkan rasa penghargaan  kepada Polis Diraja Malaysia khususnya Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal atas keprihatinan dan rasa simpati mereka untuk tidak meneruskan kes terhadap seorang ibu yang ditahan kerana kerana disyaki mencuri.

Ibu tersebut dikatakan telah mencuri kek pandan, sosej dan dua pek Cool Fever di sebuah pasar raya kelmarin untuk anak-anaknya yang sedang dalam kelaparan.

Pengerusi IKRAM Legal, Marwan Abdullah, tindakan polis itu selari dengan konsep undang-undang yang adil, saksama dan rahmah, yang mana adalah wajar untuk seseorang rakyat itu untuk dikecualikan daripada hukuman.

Ini sekiranya terdapat bukti-bukti menunjukkan kesalahan mencuri yang disyaki dilakukan itu adalah kerana desakan kehidupan akibat kelaparan atau kebuluran.

”Hal ini juga adalah sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam yang mana Sayidina Umar al-Khattab RA, khalifah Islam kedua pernah bertindak menangguhkan pelaksanaan hukuman hudud disebabkan oleh musim kebuluran pada masa tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, IKRAM Legal menegaskan tindakan polis tersebut tidaklah memberi maksud bahawa seseorang itu adalah bebas untuk mencuri sekiranya lapar.

Sebaliknya, kesalahan tetap adalah kesalahan yang mana pihak polis perlu mengambil tindakan demi menjaga keamanan dan keselamatan negera.

Namun, sekiranya selepas siasatan polis mendapati kesalahan yang dibuat tersebut  disebabkan oleh keperluan kehidupan yang amat mendesak, maka amat wajar untuk polis menggunakan budi bicaranya untuk tidak meneruskan dengan kes tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka juga wajar memberikan bantuan sewajarnya kepada orang yang disyaki dan/atau orang yang ditahan tersebut atas dasar kemanusiaan.

IKRAM Legal berharap agar semua pihak tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa dapat mengambil contoh daripada peristiwa ini, sekali gus bersama ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara yang rahmah, kata Marwan. – MalaysiaGazette

Ibu nekad curi plaster untuk anak yang demam