PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Sungai Sembrong di Kampung Sri Cahaya, Batu 5, dekat Kluang, ketika cuba melarikan diri dari ditahan polis petang semalam, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Low Hang Seng berkata, mayat lelaki itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 5.15 petang tadi, kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa disambung 8.30 pagi tadi membabitkan 10 anggota bomba, enam anggota polis serta sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kluang selepas ditangguhkan 6 petang semalam,” katanya menerusi kenyataan.

Low berkata, mayat mangsa disahkan ibunya dan kemudian dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada kira-kira 5.40 petang, katanya.

Menurut Low, lelaki berumur 33 tahun itu bertindak terjun ke dalam sungai tersebut bersama empat yang lain ketika anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat serbuan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira 4.30 petang, semalam.

Dalam operasi berkenaan, polis, berjaya menahan dua lelaki, kedua-duanya berumur 39 dan 41 tahun. – Bernama