Sejarah ITM (sekarang UiTM) awal 1970an hingga 1975, menyaksikan graduan yang cukup hebat dan ramai berjaya dalam pelbagai bidang.- Gambar hiasan.

SAYA terkejut membaca satu artikel meminta pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berundur hanya kerana membuat lawatan ke ibu pejabat parti politik pembangkang.

Desakan itu datang dari sekumpulan pelajar yang mahukan pengesahan berhubung dakwaan pensyarah berkenaan diminta meletakkan jawatan selepas dikaitkan dengan lawatan pelajar ke sebuah parti politik pembangkang.

Jika benar dakwaan itu, ia sangat bercanggah dengan prinsip kebebasan akademik dalam syor Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Saya berpandangan, disebabkan perkara-perkara seperti inilah antara punca kenapa mutu pensyarah dan mahasiswa menjadi terhad serta terkongkong.

Ini tidak lain disebabkan mereka tidak mendapat kebebasan akademik dan kebebasan untuk mengasah minda supaya menjadi kritikal dan berani, iaitu yang sewajarnya bagi memastikan kebenaran dan kualiti pendidikan tinggi negara ke arah melahirkan pemimpin dan rakyat yang berintegriti.

Mahasiswa adalah pemimpin masa depan rakyat dan negara. Cuba lihat sejarah Institut Teknologi Mara (ITM) di awal tahun 1970an hingga 1975, yang menyaksikan graduan masa itu cukup hebat dan ramai yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Contohnya, Tan Sri Prof. Ibrahim Abu Shah, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahul Hamid, Tan Sri Salleh Sulong, Tan Sri Kamal Hamad Piah, Datuk Zain Mohamad, Datuk Zaid Ibrahim dan beratus lagi menjadi pemimpin tersohor serta beribu yang berjaya segenap industri.

Begitu juga di zaman Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menjadi Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM). Speaker Corner diizinkan, malah tunjuk perasaan juga tidak sunyi dengan pelbagai isu rakyat.

Tidak ada tapisan di mana kesatuan siswa bebas menjemput siapa sahaja ke kampus untuk forum dan berpidato.

Inilah contoh sikap keterbukaan Tun Arshad Ayub yang menjadi pengarah ketika itu. Masa inilah Presiden Putra mengasah jati diri sebagai seorang pemimpin yang cekal, tegas dan lulus tahun akhir dengan cemerlang walaupun dalam tahanan di Kem Kamunting.

Namun, selepas tahun 1975, Arshad dipindahkan, pengarah baru dilantik, akta dipinda dan siswa mula dikongkong. Maka, lahir ramai siswazah yang bersifat “inferior complex” atau rendah diri, kaku dan minda sehala.

UiTM sepatutnya melahirkan siswazah berjati diri, cekal, berani selain berilmu. Ianya demi kelangsungan memperkasa jiwa patriotisma anak bangsa.

Sebagai contoh, rakyat Malaysia sebelum ini ramai yang membuat lawatan ke China yang seluruh dunia tahu ia mengamal sistem komunisme dan ada yang bertemu kepimpinan parti dan sebagainya, tidak pula balik ke Malaysia menjadi komunis.

Perdana Menteri sebelum ini juga menjalin hubungan dan berpeluk dengan Perdana Menteri China dalam lawatannya, adakah beliau sudah menjadi komunis hanya dengan satu lawatan?

Begitu juga pemimpin politik Melayu, sebelum ini dari PKR bersama DAP, Pas pernah bersama DAP, Bersatu pernah bersama DAP dan terbaru ura-ura UMNO juga ada nak menjalin hubungan dengan DAP.

Adakah ini bermaksud mereka juga sudah menjadi komunis? Tidak salahkah perbuatan pemimpin Melayu itu? Cuma salahnya ada yang hipokrit dan mengamal matlamat menghalalkan cara.

Mereka banyak yang berpura-pura, tetapi apabila tiba pada pensyarah dan mahasiswa, macam-macam tindakan dan halangan dibuat. Ini yang membuatkan golongan muda meluat dengan sifat hipokrit pemimpin.

Jangan hal sedemikian mengehadkan pensyarah dan mahasiswa untuk berkarya dan berinovasi. Cuma mereka perlu ada ketegasan dan bijak untuk kekal bebas dan tidak ada sikap memihak atau berat sebelah dalam membuat penyelidikan.

Perkara pokok adalah niat lawatan. Belum apa-apa sudah riuh rendah hingga menamatkan khidmat atau memberi hukuman sewenangnya, ini akan menyebabkan golongan muda lari dari mendekati parti Melayu yang masih lagi berfikiran dangkal seperti katak di bawah tempurung.

Namun, perlu berpegang kepada prinsip “matlamat tidak menghalalkan cara”. Sebagai contoh, UiTM itu sendiri berdiri atas perjuangan memperkasakan pendidikan bagi kaum Bumiputera.

Jika ia dilaksanakan atas tujuan akademik, ia tidak sepatutnya menjadi masalah asalkan tidak melibatkan dakyah atau doktrin kepartian kepada pensyarah dan mahasiswa.

Seperti pernah diungkap oleh Sun Tzu, “jika anda mengenali musuh dan diri anda, anda tidak perlu takut dengan keputusan ratusan perang yang akan ditempuhi”. Dunia sudah berubah. Politik lawanlah dengan cara politik. Lawanlah secara matang dan berhemah. Jangan guna cara menindas.

Justeru, saya mahu UiTM memberi penjelasan mengenai khabar yang tular itu. Saya anggap tidak wajar apa-apa tindakan diambil dan hormatilah kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa dan hak kebebasan rakyat yang dijamin setakat hak masing-masing dalam Perlembagaan Negara.

Cukuplah semasa zaman pemerintahan sebelum ini pengamal akademik terikat dan tertindas dengan sifat kepartian kerajaan. – MalaysiaGazette

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

 

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia