Akmal Nasrullah Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta kerajaan mewujudkan pelan garis masa suntikan program imunisasi Covid-19.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, walaupun terdapat 62 sukarelawan terawal menerima suntikan vaksin (peringkat kajian teknikal) namun banyak persoalan timbul.

Katanya, disebalik kemajuan peringkat kajian klinikal suntikan vaksin yang dijalankan, terdapat kebimbangan amat ketara berhubung peningkatan kes baharu tertinggi iaitu 5,728 orang dengan 13 kematian semalam.

“Bagi tahun 2021, setakat 30 Januari sahaja telah merekodkan kematian akibat COVID-19 seramai 275 orang, ini jelas menunjukkan bahawa darurat yang dilaksanakan bersekali dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah langkah terbaik dalam membendung penularan kes COVID-19 di Malaysia.

“Sehingga kini beberapa buah negara seperti Indonesia dan Singapura telah melaksanakan program vaksinasi bahkan Bangladesh juga akan memulakan vaksinasi secara penuh ke seluruh negara bermula 7 Februari ini.

“Namun Malaysia masih belum menyatakan dengan tepat tarikh sebenar suntikan Vaksin COVID-19 secara percuma akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu, banyak kenyataan yang tidak konsisten dikeluarkan kerajaan menyebabkan masyarakat menjadi binggung berhubung suntikan vaksin.

“Pada 13 Oktober 2020, Perdana Menteri menyatakan bahawa vaksin COVID-19 dijangka tiba selewat-lewatnya akhir tahun 2020.

“Kemudian Menteri Kesihatan memaklumkan vaksin COVID-19 fasa pertama akan mula diagih dan disuntik bermula bulan Februari 2021 dan terbaru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pula menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara akan bermula pada Mac ini,” ujarnya.

Ujar Akmal, kenyataan berdolak-dalik seperti itu merunsingkan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan siri kegagalan berterusan kerajaan Pakatan Nasional bagi menangani isu ekonomi, pendidikan, kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ko disuntik dulu dengan vaksin, kalau ko kebal jangkitan Covid-19 walaupun rapat dengan pembawa-pembawa atau penghidap-penghidap positive coronavirus dan sihat-walafiat sekurang-kurangnya selama 6 bulan maka kami sedia menyusul disuntik vaksin okay.

Comments are closed.